Lebih 10 tahun JDT sukar digugat

Lebih 10 tahun JDT sukar digugat

Pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ke-11 selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT) diramal meneruskan penguasaan dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh yang lama lagi berdasarkan prestasi semasa dan pengurusan terbaik.

Kelmarin, skuad Harimau Selatan itu memahat sejarah baharu bola sepak tanah air apabila muncul juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut setelah menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Kemenangan itu juga menyaksikan JDT semakin sukar digugat di puncak liga, malah melakar kejuaraan treble selepas  menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, sekali gus membuktikan mereka adalah ‘raja’ bola sepak tanah air.

“JDT sudah 11 kali juara, maknanya sudah lebih 10 tahun tidak mampu dicabar mana-mana pasukan domestik. Saya jangka 10 tahun lagi pun akan sama juga. Musim ini, mereka tidak kalah di peringkat domestik dan hanya seri sekali dengan PDRM FC.

“Mereka kebal tidak kira main di laman sendiri atau gelanggang lawan. Tidak kira mereka guna pemain simpanan atau pemain utama dan saya fikir, yang menjadikan JDT cemerlang adalah pengurusannya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kejayaan menjulang trofi Liga Super juga membolehkan kantung Harimau Selatan terus terisi apabila meraih habuan RM2.4 juta merangkumi RM500,000 agihan sama rata bagi semua pasukan bertanding dan RM1.9 juta sebagai habuan  untuk juara liga.

Skuad Harimau Selatan berpeluang untuk menyapu bersih semua piala yang dipertandingkan di negara ini jika berjaya menumpaskan Sri Pahang FC dalam aksi final Piala Malaysia pada 12 April ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bukan sahaja di peringkat domestik, Harimau Selatan juga melebarkan sayapnya di peringkat Asia apabila berjaya mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan akan bertemu wakil Thailand, Buriram United di saingan kalah mati itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×