PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga beras putih tempatan bersubsidi pada RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg) dan hanya untuk keperluan keluarga miskin sahaja.
Pengumuman itu memberi kelegaan kepada kira-kira 400,000 keluarga miskin di seluruh negara dengan 24 juta kampit akan dijual melalui projek rintis mulai 1 Mac ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, projek rintis itu adalah untuk tempoh enam bulan dengan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar boleh membeli dua kampit beras setiap orang.
“Mengikut data sedia ada, golongan itu memerlukan beras berkenaan dan buat masa ini, tiada keperluan untuk keluarkan satu jenama khusus bagi beras bersubsidi itu, sebaliknya ia akan dikenali dengan pelbagai jenama,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Tegasnya, beras berkenaan juga bukan untuk diniagakan kepada warga asing dan jika wujud elemen sedemikian, pihaknya tidak akan berdiam diri.
“Keutamaan kita ialah warga tempatan iaitu kumpulan isi rumah yang miskin dan miskin tegar. Harga RM26 sekampit itu untuk rakyat kita sahaja.
“Duit hasil pembayar cukai sepatutnya dikembalikan kepada rakyat kita. Warga asing boleh beli beras selain daripada beras khas ini,” katanya.
Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi di pasaran.
Dalam pada itu Badrul Hisham berkata, bekalan beras tersebut tidak akan ‘ghaib’ di pasaran dengan adanya penguatkuasaan berterusan oleh 1,200 anggota Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) di seluruh negara.
Katanya, pihaknya juga memperkenalkan sistem kecerdasan buatan (AI) dengan kemampuan jejak dan pantau pada setiap kampit beras bagi mengelak ia disorok dan manipulasi jualan.
“Ketika ini, bekalan beras ini akan dikawal menggunakan dua lapisan kawalan iaitu MAREA dan sistem jejak dan pantau secara AI.
“Jadi kami yakin dengan kapasiti itu dan ditambah dengan sistem AI yang digunakan, kita yakin subsidi ini akan terus kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan lagi sistem jejak dan pantau itu kerana masih di peringkat rintis.
Pada masa sama, katanya, pihaknya akan memastikan bekalan beras putih tempatan bersubsidi itu hanya dijual kepada golongan yang disasarkan.
“Kita tegaskan akan ada arahan kepada peruncit untuk mematuhi tatacara penjualan beras putih tempatan. Dengan cara itu, pasukan saya akan turun ke bawah untuk pastikan beras ini tidak dimanipulasi.
“Saya tak boleh jamin 100 peratus, sebab kita faham mereka satu langkah lebih ke hadapan berbanding kita, namun kita yakin dengan mekanisme ini mampu uruskan dengan terbaik,” katanya. – UTUSAN










