Tidak perlu rasa tertipu, nilai perubahan kerajaan hari ini

Tidak perlu rasa tertipu, nilai perubahan kerajaan hari ini

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Perpaduan memasuki tahun ketiga, menjadikan setiap aspek pentadbirannya sebagai kayu ukur masyarakat termasuk membabitkan isu kestabilan politik, kerangka Ekonomi Madani dan persediaan dalam menghadapi kepengerusian ASEAN tidak lama lagi.

Walaupun ada masanya kerajaan dipuji, namun ada juga ketikanya pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihujat atau dikecam. Namun, dalam apa jua pandangan, Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan yang seimbang dalam hal membabitkan keperluan rakyat dari segi kos sara hidup dan menyelesaikan hutang negara yang tinggi.

Menjawab segala persoalan, wartawan Utusan Malaysia, AZNAN BAKAR dan ASLINDA NASIR menemu bual Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN di bangunan Parlimen, baru-baru ini. Turut membantu jurufoto, SADDAM YUSOFF dan juruvideo, ZUID SAMSON.


Prestasi Kerajaan Madani sejak tiga tahun pentadbiran?

Kita bermula pada 2022 dan sebaik sahaja Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau mengambil alih pentadbiran pada ketika itu bermula dengan ketidakstabilan politik, berlaku perubahan pentadbiran sehingga empat kali. Jadi, fokus pertama untuk memberi kestabilan nampaknya berjaya. Perdana Menteri pun tidak menunggu lama, selepas sebulan beliau mengangkat sumpah, Anwar menggunakan Dewan Rakyat untuk absahkan lantikan beliau sebagai Perdana Menteri dengan mengadakan usul percaya.

Selepas itu pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri mengangkat satu kerangka pentadbiran iaitu membangunkan agenda Malaysia Madani. Kenapa kerangka ini perlu? Sebab kerajaan terbentuk selepas dari Pilihan Raya Umum (PRU) itu adalah kerajaan yang mewakili pelbagai parti, jadi perlu ada kerangka kerja yang jelas. Di situ, kita gerakkan semuanya dalam satu pasukan dan diurus dengan baik. Kemudian tumpuan diberikan kepada ekonomi dengan melancarkan Ekonomi Madani.

Dijelaskan perincinya agar pendapatan negara, pelaburan, produktiviti ditingkatkan sementara gaji dan upah mesti dinaikkan, itu adalah hala tuju yang jelas pada tahun ini. Tahun ketiga ini juga merupakan satu tahun yang sangat sibuk bagi Malaysia kerana Perdana Menteri akan mempengerusikan ASEAN. Anwar sudah bertemu dengan pemimpin negara luar untuk berbincang mengenai hala tuju ke hadapan dalam meletakkan semula Malaysia di atas peta dunia selepas krisis pada 2018 dan akhirnya kembali menjadi sebuah negara yang didengari di peringkat antarabangsa.

Maksudnya mandat kestabilan sudah berjaya dicapai dalam tempoh tiga tahun?

Dalilnya dalam kalangan ahli Kabinet bercakap dengan satu nada pada waktu sekarang. Saya pernah menjadi Timbalan Menteri pada 2018 dan kita menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Pada 2018, serangan menteri-menteri ini tanpa batas, ada yang tidak puas hati dengan pemimpin lain, ada menteri yang menyerangnya tetapi kali ini kita tengok dalam Kabinet yang dipimpin Anwar sangat disiplin dan teratur.

Gaduh? Itu mestilah ada, namun perbincangan dibuat secara dalaman demi kepentingan rakyat.

Walaupun ada perbezaan pendapat tetapi ia tidak dilakukan di luar Kabinet. Disiplin yang ada itu berpasak atas kesedaran dan kestabilan, itu penting. Sebab itu saya lihat syarikat di negara luar melihat keupayaan Malaysia, lalu menunjukkan komitmen untuk membuat pelaburan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Jadi, untuk bergerak ke hadapan, sudah pasti kita sekarang ini sebagai kerajaan, memberi fokus dalam kerangka yang lebih besar, sebagaimana banyak disebut dalam ucapan-ucapan.

Apa seterusnya?

Selesai bab politik dan ekonomi, sekarang ini kita lihat pula semangat perpaduan yang dirasai dalam kalangan rakyat. Rakyat harus rasakan peningkatan dari segi ekonomi di samping menolak segala sebaran berita palsu. Dalam sesi soal jawab di Parlimen, Perdana Menteri berkata kita mesti bercakap berdasarkan fakta dan mengajak warga asing melihat Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Kita gunakan semua saluran demokrasi untuk memberi penjelasan yang sebaiknya. Sehingga kini, tiada Perdana Menteri yang ada keyakinan seperti Anwar menggunakan Parlimen untuk jawab pelbagai isu. Contohnya isu harga minyak. Sekarang Perdana Menteri dilecehkan, menang hari ini, minyak akan turun.

Kenapa tidak turun (harga minyak)?

Perdana Menteri ulang kenyataan itu dalam Dewan Rakyat dan jelaskan kenapa dalam konteks tersebut kempennya begitu. Pada saya, tidak ada dalam sejarah seorang Perdana Menteri menggunakan satu pentas untuk menjawab serangan daripada pembangkang. Saya fikir ini satu kematangan yang ditunjukkan Perdana Menteri. Kita harus bercakap atas fakta dan bukan dakwaan palsu.

Bagaimana penerimaan rakyat setakat yang diperhatikan?

Kita harus objektif dalam hal ini dengan melihat tinjauan daripada penganalisa yang mana menyatakan Perdana Menteri kali ini mempunyai peningkatan sokongan Melayu. Kalau itu asasnya, sudah pasti dasar yang diumumkan pada dua tahun lepas diterima rakyat. Tetapi apakah kerajaan mengambil sikap berpuas hati? Tidak.

Perdana Menteri lebih mengingatkan semua penjawat awam untuk berikan tumpuan dengan lebih bekerja keras dan tidak mengambil mudah kerana kita bercakap tentang geopolitik yang sangat rencam.

Untuk tahun ini, Perdana Menteri memulakan sidang dengan membawa isu tarif elektrik, maksudnya ia sangat serius dan kerajaan ambil berat serta cakna selain harus difikirkan strategi ke hadapan.

Bagaimana mahu seimbangkan kebajikan rakyat, dalam masa sama memulihkan ekonomi negara?

Kita perlu letak perspektif di mana bila ambil alih, hutang kerajaan terlalu tinggi dan kita terpaksa bergelut dengan isu hutang. Dalam masa sama, kita sudah ambil alih. Rakyat mungkin boleh faham dengan masalah ini dalam sebulan dua, tetapi selepas itu mereka ingin lihat apa yang kerajaan boleh lakukan? Sebab itulah Perdana Menteri terus mengumumkan tiada lagi projek mega.

Maksudnya kita beri tumpuan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan dalam negara. Misalnya hapuskan miskin tegar yang menjadi perkara yang sangat dekat di hati beliau, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

tulah antara keseimbangan yang kita lakukan. Kita juga lihat kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji untuk penjawat awam dengan membelanjakan RM10 bilion untuk fasa pertama dan fasa kedua akan ditambah lagi. Maksudnya kerajaan mengotakan apa yang dikatakan mengenai kerangka Ekonomi Madani dengan menaikkan upah.

Dalam masa sama beliau bekerja keras supaya sumbangan dan pelaburan kewangan negara meningkat agar Malaysia dapat terus berkembang.

KRISIS KEPERCAYAAN

Manifesto PH itu satu perkara, tetapi selepas daripada pilihan raya, PH tidak menang sebagai satu blok kerajaan. Manifesto ini dihidangkan kepada rakyat, kalau berjaya tadbir kerajaan, maka inilah yang akan dilakukan tetapi dalam konteks sekarang perlu ada perundingan kerana PH tidak menang terus dan menubuhkan kerajaan dengan sendiri. PH berunding dengan parti lain seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (Warisan), Barisan Nasional (BN), tentunya beberapa perubahan dibuat menerusi gabungan-gabungan ini. Tetapi tentunya kita ada keutamaan, antaranya memastikan hutang disusun dengan baik, tiada lagi rasuah yang membantu rakyat dari segi wang tunai dan sebagainya. Kita juga pastikan Malaysia menjadi tarikan syarikat besar untuk melabur dalam negara, upah pekerja dapat dinaikkan dan itu adalah perkara utama yang harus menjadi tumpuan.

Ke hadapan ini, ada perkara lagi yang akan dirunding termasuk kebebasan Parlimen. Maka, itu perkara yang bukan keutamaan, tetapi sedang diusahakan. Selesai ekonomi rakyat, baru masuk kepada reformasi institusi yang kita sedang dilakukan.

Kebersamaan rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk pastikan Kerangka Ekonomi Madani berjalan lancar?

Saya nampak dari segi rakan yang pimpin kementerian dari pelbagai parti, mereka sangat selesa dan juga yakin dengan kerangka Ekonomi Madani kerana ia sangat mustahak dan semuanya boleh diterima dengan baik. Kalau tanya semua parti, semua inginkan ekonomi yang baik, jadi dalam hal ini kita tiada percanggahan di antara menteri-menteri Kabinet. Semuanya mahu memastikan ke arah ekonomi negara itu akan dapat ditingkatkan dan memberikan manfaat kepada rakyat. Yang penting adalah politik itu stabil dan memberi kestabilan kepada ekonomi. Perkara ini sangat penting.

Wajarkah untuk bentang manifesto sekali lagi pada PRU akan datang kerana mungkin ada yang berasa tertipu dengan janji PH yang lama?

Tidak perlu rasa tertipu kerana secara objektif rakyat perlu menilai perubahan kerajaan. Di negara lain, banyak berlaku perubahan sehinggakan masyarakat berasa ditipu dan perubahan kerajaan itu tidak ke mana dan tidak berlaku ketidakstabilan.

Dalam hal ini, perlu diingat yang Anwar adalah pemain politik lama. Kita akui selepas pilihan raya, tidak ada mana-mana parti yang diberikan sokongan jelas oleh rakyat untuk menjadi kerajaan. Akhirnya, kita terpaksa runding untuk tubuh kerajan. Pastilah tuntutannya berbeza, manifesto BN berbeza dengan PH, GRS, GPS dan Warisan.

Semua yang dihidangkan Perdana Menteri adalah dengan mengambil semua yang baik dengan meletakkan keutamaannya kepada rakyat. Jadi, adakah perkara itu disesali sebilangan pengundi atau warga? Perlu bersabar.


JADILAH AHLI POLITIK SIUMAN, BUKAN MAIN ISU PERKAUMAN

Isu perpaduan dan perkauman cabaran Kerajaan Perpaduan?

Kita lihat dalam ucapan Yang di-Pertuan Agong, baginda memberikan fokus kepada isu ini dan kita mesti tidak terlibat dalam perkara yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, kerajaan sentiasa tekankan mengenai perkara ini. Boleh tegur dan kritik kerajaan tetapi jangan 3R (raja, kaum, agama).

Sejak merdeka, kita telah ditakdirkan mempunyai kepelbagaian kaum. Jata negara yang mempunyai dua ekor harimau bersekutu bermaksud bekerjasama dengan kepelbagaian yang ada dan ia menunjukkan kekuatan bagi negara kita.

Sebab itu kita perlu menghormati antara satu sama lain. Tetapi ada pihak yang selesa memainkan sentimen perkauman ini bagi tujuan kepentingan politik masing-masing. Saya mahu buat perbandingan sewaktu PH menjadi pembangkang, kita tidak pernah main gelanggang agama dan perkauman. Adakah kita tidak menarik undi? Menarik, pengundi tetap memberi sokongan kepada kita.

Sebab itu kita jangan terjebak dengan permainan yang rosakkan negara dan saya sebenarnya harapkan kebijaksanaan pemain politik sama ada kerajaan dan pembangkang menggunakan gelanggang politik demi isu dasar dan bukan sentimen agama yang memecah-belahkan. Jadi, marilah kita jadi pemain politik yang siuman.

Sentimen perkauman jalan mudah tarik sokongan?

Jalan mudah tetapi ia akan mengakibatkan negara terbabas daripada jalur sederhana dan tidak hormat-menghormati, apa faedahnya pada kita di masa hadapan? Dari segi ‘sijil kelahiran’ Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berkata negara ini mesti dipimpin atas dasar keadilan. Kalau baca hujung-hujung perisytiharan kemerdekaan, memberi keadilan sewajarnya kepada pelbagai kaum.

Kenapa sejak 1957 sehingga sekarang sudah 68 tahun kita merdeka, tidak timbul sentimen agama yang dimainkan antiDAP? Pada saya, DAP dapat sokongan kuat dari masyarakat bukan Melayu maka, selayaknya diberikan tempat untuk berperanan dalam kerajaan.

Bagaimana ingin redakan?

Sentimen ini boleh diredakan kalau tiada pemainnya. Sentimen itu mesti ada orang yang memainkan sentimennya, saya fikir to lebih adil kepada pimpinan DAP dan UMNO, mereka nampak serius dan komited untuk bersama memimpin negara.

Saya ingat sangat kurang, cuma satu, dua pemimpin atau menteri melakukan serangan dalam pemimpin kerajaan. Tetapi mereka tidak menggambarkan ia sebagai satu masalah besar. Kita bersama berpakat bentuk kerajaan untuk memajukan negara dan titik bengit ini tidak perlu dibangkitkan.

 


SUARA MALAYSIA AKAN KEMBALI KUAT

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, komen?

Dari segi kekuatan ASEAN ini mempunyai 700 juta umat dan pemimpin ASEAN ini saya lihat Perdana Menteri kita dihormati sebab beliau di antara yang paling senior berbanding Perdana Menteri lain, maka tentunya mereka lihat kekuatan yang ada pada beliau. Mereka juga tahu Malaysia sangat rapat dengan China dan saya melihat waktu persidangan ini akan memberi idea yang sangat segar.

Sudah pasti ia menjadi tarikan kepada negara untuk mengembangkan ekonomi negara, sebab itu Perdana Menteri memberi tumpuan sepenuhnya kepada ASEAN kerana ada tambah nilai kepada kekuatan negara dan manfaat kepada rakyat.

Bagaimana mahu meletakkan kembali imej Malaysia yang kian tenggelam?

Sifat kepimpinan yang ditunjukkan Anwar bukan sekadar kepimpinan dalam negara, tetapi kestabilan dan hala tuju yang jelas membawa suara ke peringkat antarabangsa dan suara itu bermaksud membawa prinsip yang kita pegang.

Prinsip keamanan sejagat, kenapa bawa isu Gaza dengan keras, kerana isu pembantaian dan pembunuhan umat yang sangat tidak adil. Kini bercakap tentang demokrasi dan keadilan, suara seperti sekarang inilah sedang dipimpin oleh Perdana Menteri kita, diberi dukungan secara bersama dengan ASEAN sudah pasti lebih kuat.

Sebab itulah Malaysia akan kembali menjadi sangat kuat dan suara didengar di peringkat antarabangsa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×