Suami isteri pencetus tanaman vanila pertama di Perlis

Suami isteri pencetus tanaman vanila pertama di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK vanila merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Orchidaceae yang berasal dari Amerika Tengah, Mexico dan kawasan Tropika lain di Asia.

Di Perlis, sepasang suami isteri dari Kampung Guar Gajah, di Arau di sini menjadi pencetus kepada tanaman berkenaan yang selama ini agak asing bagi rakyat negeri ini.

Sebelum ini, belum pernah ada pekebun di sini menanam tanaman tersebut yang sebenarnya mempunyai permintaan cukup tinggi selain mampu menjana pendapatan lumayan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal demikian kerana, vanila mempunyai nilai pasaran yang tinggi iaitu berharga antara RM1,500 hingga RM1,800 sekilogram sekali gus menjadikannya tanaman yang menguntungkan.

Vanila dikatakan memerlukan tahap pencahayaan yang sesuai serta kawasan teduhan adalah penting dan penanam juga menggunakan kayu sebagai tiang sokongan.

Pokok vanila yang sudah matang dianggarkan mencecah sehingga usia tiga tahun dan setiap setahun kemudian sudah boleh dituai hasil.

Pada peringkat permulaan ini, pasangan suami isteri tersebut iaitu, Zainuddin Zainul Abidin,38, dan Nurul Aimi Syazana Baba, 32, dengan bimbingan pengusaha vanila, Jaafar Mohamad,69, menanam 70 pokok itu di kawasan kediaman mereka dan dijangka mampu menuai hasil selepas tiga tahun.

Nurul Aimi berkata, bagi mengusahakan tanaman vanila di peringkat permulaan, mereka mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 bagi penyediaan tempat dan anak pokok.

Pengusaha bertih jagung itu berkata, berkata, setiap pokok dijangka mampu menghasilkan kira-kira satu kilogram bahan perisa itu yang dijual pada kadar RM1,500 bagi berat tersebut.

Katanya, pokok vanila yang ditanam itu memerlukan masa tiga tahun untuk matang dan berbuah setahun sekali.

“Tanaman tersebut memerlukan air yang cukup sahaja. Ia selalunya ditanam di kawasan teduh dan lembab dengan penyediaan tanaman pokok menjalar spesis orkid tersebut membabitkan penggunaan tanah, sekam padi, daun buluh dan sabut,” katanya.

Nurul Aimi turut bercadang untuk menambah 30 lagi pokok vanila di kawasan rumahnya.

“Vanila ada banyak kegunaan dan saya ingin membuat bertih jagung menggunakan perisa itu selepas ini. Selain itu, ia juga digunakan untuk roti, kek, kopi dan pelbagai lagi.

“Vanila juga mendapat permintaan cukup tinggi di dalam dan luar negara. Di Perlis, kami yang pertama mengusahakan tanaman ini,” katanya.

Sementara itu, Jaafar yang mengusahakan tanaman vanila sejak 10 tahun lalu khususnya di Kelantan dan Perak berkata, tanaman di Kelantan membabitkan 1,000 pokok menghasilkan kira-kira 50 kilogram kekacang vanila.

“Setiap pokok mampu menghasilkan sekilogram kekacang vanila berkenaan dan sekilogram mencecah harga RM1,500,” katanya.

Sumber pendapatan baharu petani
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan negeri, Razali Saad berkata, tanaman vanila berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada petani di Perlis.

Hal itu kerana, vanila mempunyai nilai komersial yang tinggi selain sesuai ditanam dalam skala kecil sekali gus membuka peluang kepada orang ramai menceburi bidang berkenaan.

“Kerajaan negeri juga akan meneliti kaedah terbaik untuk mengembangkan tanaman itu bagi membantu petani serta individu yang berminat dalam sektor pertanian.

“Mengenai projek tanaman vanila pertama di Perlis yang diusahakan pasangan suami isteri ini, kita akan memberikan bantuan sewajarnya untuk memastikan kejayaan tanaman berkenaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini