Kos pekerja Singapura balik raya cecah RM6,500 - Utusan Malaysia

Kos pekerja Singapura balik raya cecah RM6,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat rakyat Malaysia yang sudah menerima dua suntikan vaksin di Singapura untuk pulang berhari raya di kampung mungkin tinggal harapan meskipun terdapat cadangan membenarkan aktiviti itu melalui pas laluan hijau khas sebelum ini.

Malah jika dibenar pulang sekali pun menerusi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), tidak ramai perantau yang mencari rezeki di Singapura sanggup menggunakan skim itu semata-mata untuk menyambut perayaan berbanding pulang untuk kes-kes kecemasan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang rakyat Malaysia, Muhammad Shafiq Nasiruddin, 33, dari sini berkata, dia pasrah menyambut 1 Syawal buat kali kedua di negara orang ekoran kos dan tempoh kuarantin sekembali semula ke Singapura yang tinggi.

Muhammad Shafiq yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 19 Januari dan 10 Februari lalu berkata, ramai yang berfikir dua kali untuk pulang di bawah skim PCA kerana kos kuarantin 14 hari sebanyak S$2,125 atau RM6,547 di Singapura tidak berbaloi untuk tujuan raya.

“Sebelum ini kami berharap ada kelonggaran khas membenarkan rakyat yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin pulang, tetapi nampaknya usaha itu tidak akan berlaku melainkan hanya PCA buat masa ini.

“Sedangkan kos kuarantin 14 hari tinggi tiada pendapatan kerana perlu mengambil cuti tanpa gaji, sedangkan ada juga yang hanya berpendapatan sekitar S$1,000 di sini,” katanya.

Justeru Muhammad Shafiq berharap pelaksanaan Aturan Lawatan Kecemasan Sakit Kritikal dan Kematian (DCEV) bermula 17 Mei ini membabitkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara dapat meminimumkan kos-kos tersebut.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang kini berada di tanah air di bawah PCA, Farizatul Firdaus, 30, berkata, dia akan berhari raya di tempat kuarantin nanti, sekembali dari kampung halaman di Kelantan.

Katanya, dia membelanjakan hampir RM7,000 untuk pulang di bawah PCA bagi menjenguk ibu yang sakit di kampung sejak 8 April lalu sebelum perlu berada semula di republik pada Sabtu ini dan menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Ibu saya jatuh di dapur dan terkena jangkitan kuman di kepala ekoran kejadian itu, jadi saya buat keputusan untuk balik ke kampung, tak dapat raya bersama pun tak apa janji dapat luangkan masa bersama orang tua dan sempat juga menyambut Ramadan dengan mereka.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa gunakan duit simpanan untuk membiayai kos perjalanan di bawah PCA,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Nor Khalidah Hassan, 28, menyambut baik pelaksanaan DCEV dan berharap peraturan itu tidak terlalu ketat selain majikan memahami dan setuju dengan aturan tersebut.

Kelmarin, Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat untuk melaksanakan DCEV membabitkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara yang merupakan skim pampasan perjalanan untuk kematian, penyakit kritikal dan lawatan kecemasan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perincian lanjut mengenai prosedur dan syarat kemasukan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa masing-masing iaitu Jabatan Imigresen Malaysia dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×