KUALA KANGSAR: Menghidap penyakit usus membuatkan seorang bapa terhimpit kerana sukar mendapat pekerjaan untuk menanggung empat anaknya kategori orang kurang upaya (OKU) yang bersekolah.
Mior Azlan Mohamed Mokhetar, 47, berkata, beban kesihatan dialami sejak 2021 menyukarkan dia mencari pekerjaan bersesuaian dengan latar belakang pendidikan dan pengalamannya yang membuat kerja-kerja pertukangan rumah.
Beban cuba diringankan oleh isterinya yang membuat kerja-kerja kampung seperti memotong rumput dengan bayaran sekitar RM30 bagi setiap kerja.
“Saya dulu meraih pendapatan dengan membuat kerja-kerja pertukangan rumah. Selepas sakit, saya sukar untuk membuat kerja-kerja. Malah peluang kerja tidak banyak atau sesuai dengan kemampuan fizikal saya.
“Duit simpanan dikumpul semasa saya masih sihat juga sudah habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sayong di sini, semalam.
Mior Azlan dan isteri tinggal bersama lapan orang anak mereka berusia antara tiga hingga 19 tahun.
Keluarga itu menerima bantuan persekolahan RM1,000 sebulan, dan Mior Azlan berharap bantuan tersebut dapat diteruskan memandangkan seorang anaknya telah memasuki prasekolah.
Mior Azlan berkata, dia pernah menjalani beberapa sesi pembedahan dan kini masih lagi meneruskan rawatan berjadual di Hospital Taiping.
“Badan saya berasa sangat sakit. Tetapi nasib anak-anak lebih merisaukan saya. Terutama mereka yang bersekolah adalah berstatus OKU lambat belajar.
“Ada yang sering menasihati saya supaya bekerja. Saya berusaha mencari kerja. Kadangkala mengambil apa sahaja kerja yang diberikan upah. Cuma dengan keadaan yang sakit ini membuatkan kemampuan saya agak terhad,” katanya. – UTUSAN









