PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) melaporkan penurunan untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 pada RM1.17 bilion, berbanding RM1.69 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini selaras dengan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih rendah dan bahagian kerugian dari syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
PCG dalam pemfailan di Bursa Malaysia berkata, pendapatan kumpulan meningkat sebanyak RM30.67 bilion bagi tahun kewangan 2024 daripada RM28.67 bilion pada 2023.
Bagi suku keempat pula, PCG mencatatkan untung bersih sebanyak RM519 juta, meningkat daripada RM112 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM7.46 bilion daripada RM7.22 bilion.
PCG dalam kenyataan berkata, peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus pada tahun 2024, didorong pertumbuhan volum jualan bagi tiga segmen perniagaan, membuktikan ketahanan operasi.
“Walau bagaimanapun keuntungan mengalami tekanan disebabkan oleh pasaran yang mencabar. EBITDA menurun dari tahun ke tahun sebanyak tujuh kepada RM3.5 bilion berikutan penyebaran produk yang semakin menurun dan kos operasi yang semakin meningkat.
“Kitaran yang menurun bagi sektor kimia telah berlanjutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan global yang tidak berkembang dengan keadaan bekalan yang berlebihan.
“Keadaan geopolitik, ketegangan perdagangan antarabangsa, kos tenaga, dan kesan iklim dengan pemulihan pasaran yang berbeza-beza merentasi rantau juga telah menyumbang kepada ekonomi yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, PCG berkata, peningkatan ketara daripada kapasiti yang baharu dibina, terutamanya di Asia Timur Laut, melebihi pertumbuhan permintaan dan telah memberikan kesan dalam mengekalkan tekanan ke atas harga dan margin.
PCG mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berjumlah RM240 juta akan dibayar pada 20 Mac 2025.
Jumlah dividen yang telah diisytiharkan pada 2024 sebanyak RM1.0 bilion, mewakili 89 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, pihaknya telah mencapai sasaran operasi pada tahap penggunaan loji di atas 90 peratus untuk segmen olefin dan derivatif (O&D) dan baja dan metanol (F&M) walaupun berdepan dengan cabaran pada awal tahun ini.
“Segmen bahan kimia khusus juga mencatatkan peningkatan jualan walaupun berdepan dengan kekangan bekalan serta permintaan yang meningkat untuk oxo dan poliol.
“Keadaan pasaran dijangka kekal untuk tahun 2025 berikutan ketidaktentuan disebabkan perubahan polisi geoekonomi dan potensi tindak balas daripada negara-negara terjejas, dengan keadaan geopolitik yang berterusan.
“Kita masih perlu menghadapi cabaran lebihan bekalan produk petrokimia global, walaupun permintaan akan pulih kerana penambahan kapasiti dijangka akan melebihi pertumbuhan permintaan sebanyak 50 peratus tahun ini,” ujarnya.
Mazuin menambah, pihaknya fokus untuk memastikan operasi yang selamat dan efisien, memantau pasaran dengan rapi,serta memperkukuhkan lagi disiplin kewangan syarikat.-UTUSAN










