TEL AVIV: Israel telah mengenal pasti dua mayat kanak-kanak yang dikembalikan oleh Hamas semalam sebagai Ariel dan Kfir Bibas.
Namun, Israel berkata, ujian menunjukkan bahawa satu lagi mayat yang dikatakan ibu mereka, Shiri didakwa bukan miliknya dan tidak sepadan dengan mana-mana tebusan Israel yang lain.
Tentera Israel juga mendakwa bahawa bukti forensik dan perisikan menunjukkan kedua-dua kanak-kanak itu telah dibunuh.
“Ini adalah pelanggaran yang sangat serius oleh organisasi Hamas, yang diwajibkan di bawah perjanjian untuk mengembalikan empat tebusan yang telah meninggal dunia.
“Kami menuntut agar Hamas mengembalikan Shiri ke tanah air bersama semua tebusan kami,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan dipetik CNN.
IDF bagaimanapun berkata, rancangan untuk pembebasan enam lagi tebusan pada hari Sabtu dijangka tidak akan berubah.
Semalam, Hamas menyerahkan empat mayat kepada Israel yang dikatakan milik tiga ahli keluarga Bibas dan Oded Lifshitz, yang berusia 83 tahun ketika diculik bersama isterinya di Kibbutz Nir Oz pada 7 Oktober 2023.
Dalam sidang akhbar, Ketua Pusat Perubatan Forensik Kebangsaan Israel, Dr. Chen Kugel berkata, pakar mengesahkan satu daripada empat mayat itu adalah Lifshitz tetapi tidak memberi komen mengenai keluarga Bibas.










