RIYADH: Pemimpin negara Arab berkumpul di Arab Saudi hari ini, bagi membantah rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin dan mengambil alih Gaza.
Rancangan Trump mencetuskan perpaduan yang jarang berlaku dalam kalangan negara Arab, apabila mereka sebulat suara menolak idea tersebut.
Namun, perbezaan pandangan masih wujud mengenai pihak yang akan mentadbir wilayah Palestin itu serta sumber pembiayaan untuk usaha pembangunan semula Gaza.
Pakar dasar luar Arab Saudi, Umer Karim memberitahu AFP, sidang kemuncak itu menjadi yang ‘paling penting’ dalam beberapa dekad berkaitan dunia Arab secara keseluruhan dan isu Palestin.
Trump mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila mengumumkan hasrat Washington untuk mengambil alih Gaza, dengan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Sumber rapat dengan kerajaan Arab Saudi memberitahu AFP, pemimpin Arab akan membincangkan rancangan pembinaan semula yang bertentangan dengan cadangan Trump untuk Gaza.
Dalam pertemuan dengan Trump di Washington pada 11 Februari lalu, Raja Jordan, Raja Abdullah II berkata, Mesir akan mengemukakan satu rancangan untuk langkah seterusnya di Gaza.
Sumber Arab Saudi mendakwa, perbincangan akan menjurus kepada ‘versi rancangan Mesir’ seperti yang disebut oleh Raja Abdullah.
Sidang kemuncak pada Jumaat asalnya dirancang untuk melibatkan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Jordan.
Bagaimanapun, ia diperluaskan untuk merangkumi enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Bagi Palestin, sebarang usaha untuk mengusir mereka dari Gaza akan mengingatkan kepada peristiwa Nakba, apabila ratusan ribu rakyat melarikan diri akibat pertempuran semasa pembentukan Israel pada 1948.- AFP









