KUALA LUMPUR: Perlis dijangka mengalami pertumbuhan ekonomi yang ketara tahun ini termasuk meraih limpahan potensi pelaburan sebanyak RM800 juta menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum kerjasama (MoC) dengan beberapa syarikat.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri telah merangka pelan berani untuk menarik pelabur domestik dan antarabangsa dengan memanfaatkan lokasi strategik Perlis serta dasar mesra perniagaan.
“Satu MoU dan MoC telah ditandatangani, membuka laluan kepada projek-projek yang dijangka menjana peluang pekerjaan serta merangsang perniagaan tempatan
“Pemeteraian itu adalah antara Mutiara Perlis Sdn. Bhd. dan Bina Darulaman Berhad serta pertukaran MoC antara Mutiara Perlis Sdn. Bhd. dan MAERSK Logistics & Services Malaysia Sdn. Bhd,” katanya pada sidang media sempena Siri MIDA Pelaburan Perlis anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), semalam.
Beliau berkata, MoU dan MoC ini adalah sebahagian daripada Siri MIDA Pelaburan Perlis tahun ini.
“Perjanjian ini, yang dipermudah melalui kerjasama dengan MIDA, merupakan langkah penting dalam menjadikan negeri ini sebagai hab pembangunan industri dan pelancongan.
“Pertumbuhan pelaburan di Perlis didorong oleh pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP), yang direka untuk meningkatkan daya tarikan ekonomi negeri,” katanya.
Mohd. Shukri turut menekankan bahawa dengan penambahbaikan infrastruktur dan insentif dasar yang disediakan, Perlis berada pada landasan tepat untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Negeri ini berhasrat untuk memperkukuh peranannya sebagai hab ekonomi utara dengan memanfaatkan hubungan strategiknya dengan wilayah berdekatan bagi merancakkan perdagangan dan pembangunan industri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada tiga industri utama iaitu automotif, tenaga hijau dan pertanian bagi menerajui pengembangan ekonomi.
“Taman perindustrian ini menyasarkan untuk menarik 20 hingga 30 pelabur tahun ini, dengan tumpuan kepada industri seperti tenaga solar, pusat data dan pengeluaran berasaskan pertanian,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, ia mempunyai potensi besar, terutamanya dengan hubungan eratnya dengan Pulau Pinang yang boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
“Kami memberi fokus kepada pembangunan CVIA yang meliputi lebih 2,900 hektar tanah.
“Dengan rangkaian infrastruktur yang kukuh dan pembangunan yang dirancang dalam beberapa tahun akan datang, serta sebagai sebahagian daripada Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi hab ideal bagi pelabur untuk meneroka peluang dan menubuhkan perniagaan baharu di Perlis.
“Sebagai satu daripada negeri di utara Semenanjung Malaysia, Perlis mempunyai potensi besar dalam perdagangan sempadan dan perniagaan. Perlis juga berpeluang besar untuk meraih manfaat daripada limpahan ekonomi dari negeri jiran seperti Kedah dan Pulau Pinang,” katanya,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, yang mengulangi komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Perlis sebagai hab pelaburan utama di Wilayah Utara.-UTUSAN











