Kereta api tergelincir rempuh gajah

Kereta api tergelincir rempuh gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sebuah kereta api penumpang di Sri Lanka tergelincir selepas merempuh sekumpulan gajah awal pagi tadi, sehingga menyebabkan enam ekor haiwan tersebut mati dalam insiden terburuk di negara itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang, kata pihak polis.

Kejadian berlaku berhampiran sebuah kawasan perlindungan hidupan liar di Habarana, 180 kilometer ke timur ibu negara Colombo, ketika kumpulan gajah berkenaan sedang melintas landasan sebelum subuh.

“Keretapi itu tergelincir, tetapi tiada kemalangan jiwa dalam kalangan penumpang,” kata jurucakap polis, sambil menambah pihak berkuasa hidupan liar sedang merawat dua ekor gajah yang terselamat dalam insiden tersebut.

Rakaman video selepas kemalangan menunjukkan seekor gajah berdiri menjaga anaknya yang cedera di tepi landasan, dengan hujung belalai mereka bersentuhan.

Di Sri Lanka, membunuh atau mencederakan gajah adalah kesalahan jenayah.

Negara itu dianggarkan mempunyai sekitar 7,000 ekor gajah liar yang dianggap sebagai khazanah negara, sebahagiannya kerana kepentingan dalam budaya Buddha.

Tragedi itu mengingatkan kembali kejadian serupa pada September 2018, apabila dua anak gajah dan ibunya yang sedang bunting mati dirempuh kereta api di kawasan sama.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengarahkan pemandu kereta api untuk mematuhi had laju di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan lintasan gajah bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Kematian gajah berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan mengenai konflik yang semakin meningkat antara manusia dan gajah akibat penerokaan habitat haiwan tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×