Takut lupa diri, MK cari ilmu - Utusan Malaysia

Takut lupa diri, MK cari ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN untuk mengikuti kelas agama bersama kumpulan jemaah tabligh baru-baru ini menimbulkan seribu persoalan dalam fikiran peminatnya.Malah dalam situasi ramai selebriti lelaki kini memilih untuk berhijrah, ada yang melihat penyanyi rap MK K-Clique atau Hairi Amin juga akan berada pada kedudukan yang sama.

Menjelaskan dia sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki diri, ketika ini bukan perubahan secara drastik yang dikejar dirinya. Bersikap jujur, melihat kelebihan demi kelebihan yang dimiliki, dia akhirnya mengaku takut lupa diri.

“Saya menyertai kelas agama selama tiga hari sekadar menyegarkan kembali pemikiran, sedar diri selain memperbaiki diri untuk dunia dan akhirat.

“Bukanlah saya mahu berubah secara total, bagi saya, MK adalah satu jenama diri. Jadi dalam keadaan ini, Hairi yang akan keluar mencari keseimbangan. Hairi ada pemilik kepada MK. Sebagai seorang yang sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan, saya mahu berada di landasan yang betul selain tidak mahu lupa diri,”katanya tanpa berselindung.

Bercakap mengenai perubahan yang berlaku, ketika ini ada yang berbeza mengenai jejaka berumur 25 tahun ini apabila semakin berani menayang bentuk badan. Menolak menggunakan laman sosial untuk meraih populariti dalam kalangan peminat wanita, jelas MK itu bukan satu strategi.

“Ini bukan strategi, saya juga remaja biasa yang mempunyai rutin kehidupan yang sama seperti orang lain. Dahulu orang tahu saya seorang yang kurus, jadi apa yang mahu saya kongsi adalah bagaimana menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Membawa makna saya akan sentiasa melakukan perubahan buat diri saya,” dedah MK lagi pada waktu ini dia lebih selesa untuk membawakan status solo tanpa kekasih.

Sibuk berlakon, hormati K-Clique

Bukan lagi rahsia apabila dia kini juga sibuk menjalani penggambaran drama. Mengakui ini adalah satu lagi bidang baharu yang ingin diceburinya, kata MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amri Hamdan, sebagai seorang anak seni dia sentiasa melihat tawaran sebagai peluang. Tidak menolak gementar dengan penerimaan penonton, kali ini dia tidak mahu mengalah awal.

“Berlakon adalah satu lagi bidang baru yang ingin saya ceburi. Niat utama berada dalam lapangan ini adalah untuk belajar secara konsisten, bila ada peluang yang diberikan saya ambil ini sebagai cabaran. Lebih penting bagaimana pihak produksi juga memberikan banyak kelonggaran untuk saya dalam mencapai objektif sebagai seorang pendatang baharu dalam bidang ini.

“Jujurnya memang saya agak gementar dengan maklum balas penonton kelak. Sebagai seorang yang masih dalam proses pembelajaran, lebih penting bagaimana peluang yang diberikan ini membolehkan saya belajar satu lagi ilmu baharu,” kata anak kelahiran Tawau, Sabah ini lagi.

Melihat usaha yang dilakukan untuk memperkukuhkan namanya dalam bidang seni. Ada yang beranggapan, MK sendiri mungkin akan berdiri di atas namanya sendiri suatu hari nanti. Menolak persepsi liar itu, ada perjanjian sebagai anggota K-Clique yang ingin didedahkan dirinya.

“Benda itu adalah sesuatu yang mustahil untuk kami dalam K-Clique. Sebabnya setiap daripada kami memang akan membawa nama K-Clique itu ke mana-mana. Kami bergerak sebagai sebuah keluarga yang akan sentiasa ada untuk satu sama lain.

“Bagaimanapun untuk bergerak solo tidak ada masalah memandangkan kami akan sentiasa menyokong antara satu sama lain dan tidak menghalang anggota kami K-Clique untuk berkarya lebih luas,”tambahnya.

ThreeOTwo (302)

Muncul dengan buah tangan baharu, kali ini bukan muzik yang mahu diketengahkan dirinya. Selesa bergelar seorang ahli perniagaan kini, ThreeOTwo (302) adalah jenama pakaian miliknya kini.

“302 adalah bait yang sering saya guna dalam lirik, jadi secara tidak langsung ini sudah menjadi trademark buat saya. Secara tidak langsung orang mengenali saya melalui jenama ini.

“Jenama ini mengetengahkan street fashion. Lebih jelas fesyen yang menjadi pilihan saya selama ini. Tujuan utama saya mengeluarkan 302, adalah untuk mengekspresikan pilihan saya dalam berpenampilan.

“Bercakap soal keunikan baju ini, apa yang boleh saya kongsi, walaupun ia membawakan fesyen jalanan namun kami sangat mementingkan kualiti fabrik yang digunakan. Selain nampak sesuai dengan peredaran masa, lebih penting adalah keselesaan,”jelasnya.

Bersyukur untuk memulakan perniagaan pada usia muda, jelas MK lagi, bukan keuntungan yang menjadi pencetus idea tetapi bagaimana ini adalah satu lagi permulaan baharu buat dirinya.

“Di bawah jenama yang sama juga saya akan mengeluarkan lebih banyak produk. Cuma buat masa ini fokus utamanya adalah beberapa pakaian yang sudah disiapkan. Dalam tempoh sekarang juga jualan produk 302 adalah secara atas talian.

“Sebagai seorang yang baru dalam bidang perniagaan, memang saya ada pasukan yang banyak membantu terutamanya dari segi pemasaran dan sebagainya. Malah setiap keputusan yang dibuat juga secara bersama,”tambahnya lagi.

Sementara itu ketika ditanya mengenai persiapan Aidilfitri kali ini, ternyata sebagai seorang perantau yang jauh daripada keluarga MK sentiasa berharap dapat pulang ke kampung halamannya.

“Ikutkan kalau tidak pulang ke kampung tahun ini, bermakna sudah dua tahun saya berada di Kuala Lumpur meraikan Hari Raya Aidilfitri. Cuma kalau boleh pulang saya memang mahu pulang walaupun hanya sehari pun tidak mengapa.

“Cuma kalau masih tiada peluang saya juga tidak berasa sedih sebabnya masih boleh berhubung dengan keluarga melalui telefon dan sebagainya. Malah di Kuala Lumpur juga saya tidak keseorangan sebab ada saudara mara,”akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×