LONDON: Penduduk Palestin di Rafah dan utara Gaza kini hanya mendapat kurang daripada tujuh peratus bekalan air berbanding sebelum perang Israel, yang memburukkan lagi penyebaran penyakit bawaan air.
Sebuah badan amal berpangkalan di United Kingdom (UK), Oxfam, mendedahkan lebih 80 peratus infrastruktur air dan sanitasi di seluruh Gaza musnah, sama ada sebahagian atau sepenuhnya, termasuk semua enam loji rawatan air utama.
Penilaian badan amal itu juga menunjukkan bahawa 85 peratus stesen pam kumbahan, 73 daripada 84, dan rangkaiannya musnah.
Katanya, walaupun beberapa kemudahan dibaiki, terdapat keperluan mendesak untuk bahan api bagi memastikan kemudahan tersebut terus beroperasi.
Serangan Israel yang berterusan menyebabkan kemusnahan hampir 1,675 kilometer (km) rangkaian air dan sanitasi sepanjang 15 bulan lalu.
Koordinator Kemanusiaan Oxfam di Gaza, Clemence Lagouardat menegaskan, pemulihan bantuan termasuk penghantaran bahan api dan air, membantu meningkatkan ketersediaan bekalan di beberapa bahagian Gaza.
“Namun, keadaan masih sangat buruk dan kritikal, terutamanya di kawasan utara Gaza dan wilayah Rafah.
“Kini, selepas serangan bom berhenti, kami mula memahami betapa besarnya kemusnahan terhadap infrastruktur air dan sanitasi Gaza,” katanya.
Beliau memberi amaran rangkaian air dan sanitasi yang paling penting di Gaza musnah atau lumpuh, menyebabkan keadaan kesihatan dan kebersihan yang mengerikan.
“Kakitangan dan rakan sekutu kami memaklumkan bagaimana orang ramai menahan mereka di jalanan meminta air dan ibu bapa tidak minum bagi menyimpan air untuk anak-anak mereka.
“Ia amat menyedihkan mendengar kanak-kanak yang terpaksa berjalan jauh hanya untuk mendapatkan sebekas air,” kata Lagouardat.
Beliau berkata, pembinaan semula sistem air dan sanitasi Gaza adalah penting untuk pemulihan wilayah itu selepas 15 bulan kemusnahan.
“Gencatan senjata mesti kekal, dan bahan api serta bantuan mesti sampai supaya rakyat Palestin dapat membina semula kehidupan mereka.
“Keamanan kekal bagi Palestin dan Israel hanya boleh dicapai melalui gencatan senjata yang tetap dan penyelesaian yang adil,” tambahnya. – ANADOLU











