JDT letak sasaran tinggi layan Pohang 

JDT letak sasaran tinggi layan Pohang 

HECTOR Bidoglio (kiri) dan Matthew Davies pada sidang media, semalam menjelang perlawanan ACLE menentang Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio meletakkan sasaran tinggi dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Pohang Steelers, malam ini.

Katanya, kemenangan akan membolehkan skuad Harimau Selatan menduduki posisi yang lebih baik dalam pusingan 16 terbaik selepas ini.

Namun, ketua jurulatih kelahiran Argentina itu menjangkakan satu pertembungan yang sengit memandangkan kelab Korea Selatan itu turut memburu kemenangan bagi meletakkan pasukan dalam lapan pasukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berada di kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 16 terbaik dan kemenangan ini amat penting bagi menduduki posisi lebih tinggi. Jadi, kita perlu bekerja keras memastikan berjaya merekodkan kemenangan.

“Justeru, pemain tidak boleh sambil lewa, sebaliknya mengekalkan intensiti permainan, bermain secara dinamik dan melakukan penghantaran bola dengan lebih pantas.

“Di Stadium Sultan Ibrahim, JDT sentiasa menjadi watak protagonis dan akan mengekalkan status itu pada perlawanan menentang Pohang Steelers,” katanya.

Ketika ini JDT menghuni kedudukan kelima dalam saingan peringkat kumpulan Zon Timur dengan mengutip 11 mata, manakala Pohang Steelers berada di posisi kelapan dengan sembilan mata.

Pengendali kelahiran 57 tahun itu lega apabila keseluruhan pemain berada pada tahap terbaik termasuk Juan Muniz dan Murilo Henrique kembali menyertai pasukan setelah menjalani penggantungan.

Pasukan turut diperkuatkan dengan penambahan seorang lagi muka baharu, Anselmo Moraes yang menyertai pasukan dua hari lalu, namun pemain berusia 35 tahun itu memerlukan masa untuk mencipta keserasian dalam pasukan.

Pemain kelahiran Brazil itu dapat mengisi kekosongan Roque Mesa yang mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) ketika menentang kelab Australia, Central Coast Mariners, minggu lalu.

“Anselmo adalah seorang pemain yang berpengalaman dan bakal menjadi watak penting JDT. Kemasukannya akan memperkuatkan bahagian tengah Harimau Selatan mengharungi saingan ACLE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×