HULU LANGAT: Kementerian Pendidikan membelanjakan sebanyak RM69 juta bagi membina 301 kabin Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dijadikan bilik darjah bagi menangani isu sekolah padat di Selangor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, di negeri ini sahaja terdapat 95 buah sekolah yang menggunakan IBS yang diubah suai menjadi bilik darjah sementara yang lebih kondusif.
“Proses penyuraian murid ke sekolah-sekolah lain turut dilaksanakan bagi mengurangkan kepadatan. Ada juga sekolah yang terpaksa beroperasi dalam dua sesi akibat permintaan yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini, semalam.
Sementara itu beliau berkata, kementerian itu giat melaksanakan sesi libat urus berhubung Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah.
Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan semua pelajar mendapat akses pendidikan yang mencukupi bagi menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, sesi libat urus sedang giat dijalankan bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar.
“Kami berharap pindaan ini dapat dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini atau sekurang-kurangnya dalam sesi seterusnya.
“Kami mahu memastikan pindaan ini mengambil kira pelbagai aspek dan keperluan komuniti pendidikan supaya tiada pihak yang tercicir,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata, proses semakan terhadap draf RUU tersebut telah selesai di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, inisiatif itu merupakan langkah penting KPM bagi memastikan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. – UTUSAN










