GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyekat kemasukan rumah mudah alih dan jentera berat ke Gaza meskipun dalam perjanjian gencatan senjata.
Penyiar awam Israel, KAN, memetik sumber Israel yang tidak dinamakan, berkata Netanyahu menolak akses kepada jentera berat untuk membersihkan runtuhan bangunan yang musnah di kawasan itu.
Ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal selepas serangan Israel yang meragut lebih 48,200 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta meninggalkan Gaza dalam keadaan lumpuh.
Pada Sabtu, pejuang Hamas membebaskan tiga tebusan Israel selepas diberi jaminan tiada halangan untuk kemasukan rumah mudah alih bagi rakyat yang terjejas dan jentera berat yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan.
Pihak berkuasa tempatan Palestin menuduh Israel melanggar protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata Gaza dengan menafikan akses kepada bahan bantuan, termasuk khemah dan rumah mudah alih untuk orang awam yang terjejas di Gaza.
Sebanyak 19 tebusan Israel dan lima pekerja Thailand dibebaskan sebagai pertukaran untuk 1,135 tahanan Palestin di bawah fasa pertama perjanjian Gaza yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan dengan kes jenayah genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas perang yang dilancarkan terhadap Gaza.– AGENSI











