emart24 sasar buka 300 kedai menjelang 2030

emart24 sasar buka 300 kedai menjelang 2030

VUITTON PANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: emart24, rangkaian kedai serbaneka Korea popular menyasarkan pembukaan 300 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2030, dengan tumpuan utama kepada pengukuhan kehadiran di Pantai Timur, kata Ketua Pegawai Eksekutif emart24. 

Vuitton Pang berkata, syarikat optimis sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh lima tahun mendatang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu jenama kedai serbaneka premium pilihan rakyat Malaysia.

“Sasaran perluasan 300 cawangan menjelang 2030 didorong oleh peningkatan permintaan terhadap konsep kedai serbaneka premium yang menawarkan produk makanan dan minuman Korea yang halal dan berkualiti tinggi.

“Sasaran ini adalah berdasarkan pertumbuhan positif yang telah kami capai setakat ini. Dengan peningkatan permintaan terhadap makanan dan minuman yang berkualiti serta mesra pengguna Islam, kami melihat peluang besar untuk berkembang, khususnya di kawasan luar bandar dan bandar kecil yang masih kurang mempunyai akses kepada kedai serbaneka premium.

“Kami juga melihat trend peningkatan dalam kesedaran pelanggan terhadap jenama yang menawarkan produk Korea halal dan ini menjadikan emart24 sebagai pilihan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya semasa majlis penyerahan sijil halal daripada perwakilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini.

Dengan lebih 84 cawangan di Malaysia dan lebih 800,000 transaksi setiap bulan, emart24 semakin mendapat sambutan dengan pelbagai makanan ringan, minuman, dan hidangan sedia makan Korea.

Beliau berkata, syarikat kini berusaha mempercepatkan pembukaan cawangan-cawangan baharu bagi memastikan pertumbuhan yang konsisten, di samping memperkukuh rangkaian kedai sedia ada dengan memastikan kesemua cawangan ini memperoleh pensijilan halal secara berperingkat. 

Selain itu, jelasnya, tumpuan terhadap pasaran di Pantai Timur adalah sebahagian daripada strategi pengembangan syarikat dalam memperluaskan capaian kepada lebih ramai pengguna.

“Kami melihat Pantai Timur sebagai pasaran yang mempunyai potensi besar dan kami yakin kehadiran lebih banyak cawangan emart24 di sana akan mendapat sambutan yang baik. 

“Selain itu, pensijilan halal yang kami usahakan akan memberi nilai tambah kepada pelanggan beragama Islam di kawasan ini, memberikan mereka keyakinan terhadap jaminan halal produk kami,” katanya. 

Beliau berkata, emart24 juga menyasarkan lima cawangan untuk mendapat pensijilan halal setiap bulan menjelang 2026. 

“Dengan perancangan ini, semua 84 cawangan sedia ada dijangka memperoleh pensijilan halal sepenuhnya pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Semua cawangan emart24 menyediakan produk mesra penggun Islam dan menggunakan bahan halal dalam operasinya. Walau bagaimanapun, pensijilan halal daripada Jakim akan memastikan tahap pematuhan yang lebih tinggi mengikut garis panduan ketat yang telah ditetapkan,” katanya. 

Sebelum ini, emart24 telah menerima pensijilan halal daripada Jakim bagi dua e-kafe miliknya di Southville dan Vista Alam, Shah Alam pada 1 Februari lalu

Seiring dengan usaha pensijilan halal, emart24 juga akan memperkenalkan lebih banyak pilihan produk yang menepati keperluan seluruh masyarakat Malaysia.

“Dengan pematuhan ketat terhadap garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim, setiap kafe halal emart24 akan memastikan penggunaan bahan mentah daripada pembekal yang disahkan halal, sekali gus menjadikan aspek kebersihan dan penyediaan makanan satu keutamaan.

“Proses mendapatkan sijil halal memerlukan kesabaran dan komitmen. Walaupun ia memakan masa, namun dengan bimbingan dan kerjasama bersama Jakim, proses ini boleh berjalan dengan lancar,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×