Kilauan legasi Kedai Emas Hajjah Halijah - Utusan Malaysia

Kilauan legasi Kedai Emas Hajjah Halijah

Mohd Shaiful Hasri Shukri (kiri) dan isterinya Siti Junaidah Shuib menunjukkan koleksi rekaan emas terbaru di kedai emas milik mereka di Sungai Petani di sini hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Itulah pepatah lama yang tepat untuk menggambarkan kejayaan usahawan  emas di Kedah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri yang meneruskan legasi perniagaan emas yang diceburi oleh ibunya, Halijah Saad sejak 1992.

Mohd. Shaiful Hasri, 41, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Hajjah Halijah Sdn. Bhd. diberi mandat oleh ibunya, Halijah, 70, untuk menguruskan perniagaan di cawangan Sungai Petani dan Kangar pada 2001.

Menurutnya, walaupun ketika itu usianya baru mencecah 21 tahun, namun dia menyahut cabaran dan sedia membuktikan kemampuannya memajukan kedua-dua cawangan kedai emas berkenaan sehingga maju dan terkenal di utara semenanjung Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, katanya, ibunya juga memberi kepercayaan kepada dua lagi anak, Shahriza Farhah, 39, dan Shamshul Anas, 37, menguruskan Kedai Emas Hajjah Halijah cawangan Jitra serta Alor Setar.

Sementara itu, seorang lagi anak, Sarija Huwaida, 35, pula bertugas sebagai guru.

“Saya cukup berbangga apabila dapat meneruskan legasi ibu dalam perniagaan emas walaupun mengakui banyak cabaran yang perlu dihadapi.

“Bagaimanapun, hasil bimbingan dan tunjuk ajar yang dicurahkan ibu selama ini banyak memberi manfaat serta impak positif kepada saya,” katanya ketika ditemui di Kedai Emas Hajah Halijah di sini baru-baru ini.

Mohd. Shaiful Hasri yang dibesarkan di dalam kedai emas sejak berusia 13 tahun berkata, dia akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh ibunya itu dengan memajukan perniagaan tersebut termasuk membuka cawangan baharu di seluruh negara.

“Alhamdulillah sambutan orang ramai terhadap barangan kemas yang dijual di empat cawangan kedai emas itu cukup menggalakkan dan saya berhasrat untuk menambah cawangan baharu di Pulau Pinang selepas ini,” katanya lagi.

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu, isterinya, Siti Junaidah Shuib, 40, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kedai Emas Hajjah Halijah juga banyak membantu melancarkan perniagaannya.

“Isteri saya juga merupakan tulang belakang perniagaan. Dia banyak memberi motivasi dan semangat kepada saya untuk berusaha dengan lebih baik,” ujarnya.

Ketika ini, Kedai Emas Hajjah Halijah mempunyai seramai 27 kakitangan dalam pelbagai jawatan.

Selain mempunyai empat premis cawangan, kedai emas itu juga mempunyai kira-kira 500 ejen di seluruh negara termasuk 200 ejen yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Mohd. Shaiful Hasri memberitahu, jumlah pelanggan didapati meningkat sehingga melebihi 100 orang di setiap cawangan menjelang musim perayaan.

“Kebanyakan pelanggan tertarik dengan gelang dan rantai tangan yang mempunyai reka bentuk dan corak yang terkini seperti gelang daun ketum, coco lipan, lipan kait dua, roti bun, pulut dakap, biskut tawar, madu tualang dan chinchan.

“Selain itu, Kedai Emas Hajjah Halijah juga mengeluarkan reka bentuk sendiri iaitu gelang ETS dan bunga Dahlia yang mendapat sambutan luar biasa.

“Harga barangan kemas yang dijual pula daripada RM300 hingga RM50,000 seutas, selain menjual emas dalam bentuk ‘gold bar’,” katanya.

Sebarang maklumat dan perkembangan terbaru berkaitan Kedai Emas Hajjah Halijah boleh didapati di laman Facebook ‘Kedai Emas Hajjah Halijah S/B’ atau di Instagram kedaiemashajjahhalijahsb’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini