'Duyung' terapi mental Nazeyra

‘Duyung’ terapi mental Nazeyra

Renang duyung bukan sahaja melunaskan impian masa kecil tetapi memberi ketenangan mental.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ralit rasanya melihat aksi lincah wanita ini berenang bak duyung di dalam air.

Libasan ekor dan ‘flip’ yang dilakukan, rasanya seolah-olah sedang menonton Ariel, iaitu watak duyung dalam filem The Little Mermaid.

Ekor fabrik yang berwarna biru dan merah jambu pastel membangkitkan lagi suasana bagaikan berada dalam dunia fantasi duyung.

Bezanya, duyung Nazeyra Fadzaauny ini versi muslimah yang sesuai dengan imej wanita melayu di negara ini.

Kata wanita 38 tahun ini, renang duyung yang dipelajari sejak dua tahun lalu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya.

Bukan sahaja melunaskan impian waktu kecil yang gemarkan puteri duyung, malah membantu menjadi terapi mentalnya yang sering dilanda keresahan dan trauma.

“Pada awalnya, saya belajar berenang dan kemudian menyelam sekadar suka-suka untuk mencuba benda baharu. Sebab saya ini takut kepada air yang gelap sebenarnya.

“Maksudnya, bila saya nampak air dalam akuarium bertukar gelap pun akan muncul perasaan takut. Perasaan itu memang wujud sejak saya kecil.

“Jadi, dua tahun lalu saya cabar diri untuk belajar menyelam bagi mengatasi perasaan takut. Awalnya, saya panik berada di dalam air tetapi mujurlah dengan sokongan suami dan tunjuk ajar daripada jurulatih, akhirnya saya berjaya lakukannya,” katanya kepada Seri.

Titik permulaan selaman pertama itulah yang membuatkan Nazeyra mula jatuh cinta kepada aktiviti berkenaan sehingga membawanya mencuba aktiviti renang duyung.

Renang duyung yang sememangnya fokus kepada selaman dan teknik pernafasan berbeza daripada renang biasa rupanya memberi kesan positif terhadap kesihatan mental wanita ini.

Nazira yang disahkan menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD) beberapa tahun kebelakangan ini sering mempunyai pemikiran yang berlebihan mengenai kematian sehingga

menyebabkan beliau mula mengalami simptom keresahan (anxiety).

Katanya, selaman duyung sedalam 10 meter yang pernah dilakukan memberikan ketenangan luar biasa yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.

“Saya pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap GERD. Penyakit itu buatkan saya rasa sukar bernafas dan selalu terfikir ‘Adakah saya sudah hendak mati?’

“Apabila kerap berfikir seperti itu saya mula rasa simptom keresahan. Tetapi bila menyelam dengan teknik duyung, saya dapat rasakan suasana sunyi yang tidak pernah saya rasakan di darat.

Moment of silence itu beri saya ketenangan yang saya cari selama ini. Hening, sunyi di dasar air itu membantu saya atasi semua gejolak emosi dan keresahan yang saya alami” katanya yang

pernah menyelam dengan kostum duyung di tujuh pulau di negara ini.

BANTU WANITA LAIN

Bukan syok sendiri, sebaliknya manfaat selaman untuk kesihatan mental itu juga dikongsi bersama pelajarnya yang dikenali sebagai Ina.

Katanya, selepas bergelar jurulatih renang duyung secara sambilan, Ina yang juga seorang ibu datang untuk mempelajari renang kerana mempunyai masalah keresahan.

“Ina datang dengan surat doktor yang mengatakan dia ada masalah keresahan, jadi dia hendak atasi masalah itu dengan melakukan aktiviti renang duyung.

“Alhamdulillah, kini Ina sudah pulih sepenuhnya, tidak perlu lagi temujanji doktor,” katanya berkongsi pengalaman.

Sehingga kini, ramai pelajarnya yang mempunyai masalah sama berjaya mengatasi masalah berkaitan keresahan dengan mempelajari teknik selama duyung.

Kata anak kelahiran Perak ini, sebagai seorang wanita dan juga ibu, wanita seharusnya mempunyai ‘me time’ untuk menjaga kesihatan mental.

Tugas isteri dan ibu yang tidak pernah kunjung selesai perlu ada rehat sebentar untuk melakukan aktiviti yang digemari.

Renang duyung ini adalah salah satu aktivti yang boleh dipertimbangkan oleh kaum wanita atau ibu-ibu untuk dijadikan aktiviti masa lapang.

Bukan sahaja bagus untuk mental, malah dapat membantu menjaga kesihatan fizikal memandangkan aktiviti renang duyung ini banyak menggunakan gerakan badan sekali gus membantu membakar lemak.

“Renang biasa banyak menggunakan hidung, kaki dan tangan. Tetapi, renang duyung ini melibatkan pergerakan teras badan, jadi sangat berbeza.

“Lagi satu, renang duyung ini memang kena tahan nafas sebab ia menggunakan teknik selaman. Kalau renang biasa boleh curi nafas, tetapi tidak bagi renang ini. Saya paling lama boleh tahan nafas sekitar dua minit,” katanya yang mengambil masa kurang setahun untuk mahir renang duyung.

Katanya, renang jenis ini sesuai untuk wanita berusia sehingga 60 tahun yang masih sihat tubuh badan.

DETIK CEMAS

Berenang menggunakan ekor seberat dua kilogram (kg) dan kadangkala menjangkau tujuh kg mengikut jenis fabrik sememangnya memberi cabaran.

Kata ibu tiga anak ini, beliau pernah berdepan detik cemas apabila hampir lemas ketika berenang menggunakan ekor di sebuah pulau.

Ceritanya, pada waktu itu, arus air laut agak deras menyebabkan dia yang memakai ekor pada waktu itu terasa dihanyutkan.

“Waktu itu saya pakai ekor yang saya reka sendiri dan kebetulan arus agak kuat. Saya jadi panik bila rasa tidak bergerak walaupun sudah sedaya-upaya berenang. Makin lama saya rasa makin jauh dengan bot.

“Mujurlah, kumpulan yang ada bersama saya hari itu mereka sedar dengan keadaan saya dan cepat-cepat hulurkan bantuan. Saya belum lemas ketika itu tetapi sudah rasa seperti tercungap-cungaplah,” katanya.

JADI KECAMAN

Nazeyra yang mempunyai kerjaya hakiki sebagai Pengurus Kandungan di sebuah syarikat kosmetik juga rajin berkongsikan koleksi video renang duyungnya di laman Instagram dan Tiktok.

Ia dilakukan sekadar suka-suka, namun tanpa disangka mengundang kecaman daripada warga maya.

Katanya, ramai yang mengecam beliau melakukan perkara yang sia-sia dengan berenang bagaikan duyung.

“Banyak juga terima kecaman seperti melakukan perkara sia-sia. Tetapi, mereka tidak tahu renang duyung ini memberi manfaat yang banyak untuk kesihatan.

“Melalui aktiviti ini juga kami sudah berjaya membangunkan Modest Mermaid Society yang untuk para wanita berkumpul dan melakukan aktiviti.

“Kami banyak melakukan aktiviti selaman bersama-sama tidak kira di pulau atau di kolam. Ia menjadi satu aktiviti ‘me time’ untuk kami ibu-ibu ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×