KITA kini berada dalam era Covid-19. Ia bukan sekadar norma baharu malah lebih daripada itu. Era ini menuntut kita untuk melengkapkan diri dari segi mental, fizikal dan persediaan ekonomi yang mampan.
Pemerkasaan sosioekonomi dan pertahanan negara dalam landskap ekonomi era Covid-19 ini merupakan usaha yang seharusnya berterusan dan bersasar. Pendekatan pemerkasaan sosioekonomi yang ditekankan oleh kerajaan dalam cogan kata “Leave No One Behind” adalah bertepatan dengan keperluan landskap ekonomi era Covid-19 dan akan datang.
Perancangan pemerkasaan sosioekonomi perlulah mempunyai ciri yang fundamental, lestari dan berdaya saing demi kesejahteraan ekonomi dan keselamatan negara. Pada era Covid-19, penyediaan prasarana yang baik, pendidikan yang berkualiti, rantaian makanan yang mencukupi dan penghasilan sumber manusia yang berdaya saing bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan malah fokus penambahbaikan perlulah bersasar dan diberi perhatian serius.
Perkara ini juga telah dibentangkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang mana fokus utama kerajaan adalah untuk memperkasakan sosioekonomi negara dengan menambah baik infrastruktur, prasarana serta meningkatkan pembangunan modal insan selaras dengan keperluan ekonomi negara.
Era Covid-19 tidak memberikan kita pilihan selain daripada meningkatkan ketahanan ekonomi dan keselamatan negara dengan menggunakan pendekatan sosioekonomi yang mampan dan lestari. Ini kerana, masyarakat dengan ekonomi yang kukuh mampu membantu pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang.
Pakej bantuan rakyat tidak boleh dipolitikkan lagi kerana ini bukan lagi teknik mencuri hati dan undi daripada rakyat. Malah, bantuan kewangan boleh menjadi penentu sama ada sesebuah isi rumah itu masih boleh meneruskan hidup dan memberi keluarga sesuap nasi.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah melebihi setahun membuatkan norma baharu menjadi rutin dan sebahagian cara hidup rakyat Malaysia. Sesetengah sektor ekonomi terpaksa ditutup disebabkan permintaan jualan yang kurang akibat kawalan pergerakan dalam jangka masa yang panjang.
Suasana ekonomi tidak akan kembali seperti dahulu dan corak serta sektor ekonomi baharu pula bakal muncul. Banyak restoran makanan terpaksa ditutup kerana kekurangan pelanggan dan pusat hiburan rata-rata tiada pelanggan.
Industri dan sektor baharu yang berteraskan kesihatan seperti rekreasi, gaya hidup sihat, sektor kesihatan dan teknologi menjadi tumpuan dan meningkat naik. Keadaan ekonomi tidak lagi akan kembali seperti dulu, tetapi akan membentuk satu ekonomi baharu pada era Covid-19.
Rentetan daripada ini isu keselamatan manusia (human security) menjadi topik yang sering dibincangkan. Ini kerana dalam ekonomi era Covid-19, isu keselamatan manusia seperti keselamatan kesihatan menjadi perkara penting dan wajib.
Negara membelanjakan kewangan yang besar dalam usaha menangani Covid-19 dan kos vaksinasi. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkasakan keselamatan kesihatan negara sekali gus menambah baik sosioekonomi masyarakat Malaysia.
Kekuatan sesebuah negara adalah bergantung kepada kekuatan ekonomi dan ketahanannya daripada ancaman luar. Ini juga telah dilihat dalam dasar pertahanan negara yang telah mengariskan nilai-nilai teras seperti kedaulatan dan keutuhan wilayah, kestabilan sosiopolitik, kesepaduan nasional, tadbir urus yang baik, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat serta pengiktirafan antarabangsa.
Dalam konteks menangani masalah ekonomi dan pertahanan negara di era Covid-19, strategi utama yang perlu dilaksanakan adalah memperkasa keupayaan dan kesiagaan pertahanan, meningkatkan keselamatan dan membina ketahanan ekonomi.
Kesiagaan pertahanan dan keselamatan haruslah sentiasa menjadi perhatian negara kerana dalam keadaan ekonomi yang getir ini, negara haruslah sentiasa bersedia dengan ancaman dari luar.
Kerajaan seharusnya memandang perbelanjaan pertahanan sebagai satu perkara yang penting kerana selain daripada membahagikan belanjawan negara ke arah pembangunan ekonomi yang mampan, perbelanjaan untuk pertahanan negara haruslah sejajar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada setiap tahun.
Contohnya, dalam tempoh lima tahun ini, China telah meningkatkan perbelanjaan pertahanan negaranya pada angka yang tinggi. Pertumbuhan yang pesat dalam perbelanjaan pertahanan menunjukan China meletakkan pertahanan sebagai elemen kekuatan sesebuah negara.
Oleh yang demikian, Malaysia perlulah memperhalusi landskap ekonomi dunia dan memastikan negara kita tidak ketinggalan dalam perancangan pembangunan negara secara menyeluruh.
Selain daripada penjajaran kepada pembangunan tahap sosioekonomi negara, elemen pertahanan harus dipandang secara serius.
Negara yang aman ialah negara yang bebas dari ancaman. Ciri ini dapat menarik pelaburan asing ke dalam negara dan seterusnya menyumbang kepada KDNK.
Era Covid-19 merupakan satu realiti baharu dalam kehidupan kita. Pembangunan ekonomi yang dirancang haruslah secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan yang lestari.
*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan dan Pengarah Pusat Pengajian Sepanjang Hayat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)











