Snowpy si manja telinga ‘labuh’ - Utusan Malaysia

Snowpy si manja telinga ‘labuh’

SHABINA bersama Snowpy yang memiliki keletah nakal dan comel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sifatnya yang manja, mesra dan mudah didekati menjadikan arnab berbaka Holland Lop bernama Snowpy ini berjaya menawan hati seorang gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Shabina.

Berasal dari Belanda, baka ini bukan sahaja terkenal dengan saiznya yang kecil, tetapi juga dengan telinganya yang terkulai, menambah daya tarikannya yang tersendiri.

Menurut Shabina, dia menemui Snowpy melalui sebuah iklan di media sosial yang dikongsi dalam salah satu kumpulan pencinta arnab di Malaysia.

“Melihat wajahnya yang comel, saya terus jatuh hati. Tanpa ragu, saya membawanya pulang dan menjadikannya sebahagian daripada keluarga,” katanya kepada Seri.

MANJA DAN NAKAL

Bercerita mengenai keletah Snowpy, Shabina berkata, walaupun haiwan kecil ini tampak comel, ia juga mempunyai sisi nakal yang mencuit hati dan menghiburkan.

Snowpy merupakan arnab yang sangat manja. Setiap kali melihat pemiliknya, ia pasti datang menghampiri dan meminta diusap.

Malah, salah satu tabiat unik si comel ini adalah suka ‘membuli’ kucing peliharaan Shabina yang bernama Tarzan.

Selain itu, Snowpy juga mempunyai tabiat menggigit kabel, termasuk kabel pengecas yang dibiarkan tanpa pengawasan.

“Tarzan sebenarnya penakut dan Snowpy suka mengambil kesempatan. Kalau nampak Tarzan tengah berehat di atas permaidani, Snowpy akan datang dan sergah sampai kucing itu lari lintang-pukang

“Selain ‘membuli’ kucing, Snowpy juga mempunyai satu lagi tabiat yang mencabar kesabaran saya. Kalau ada kabel pengecas atau sebarang wayar yang dibiarkan, Snowpy pasti akan menggigitnya sehingga putus,” ujarnya.

PERLUKAN RUANG

Seperti pemilik haiwan peliharaan yang lain, Shabina turut memberi perhatian khusus terhadap diet dan penjagaan Snowpy untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraannya sentiasa terjaga.

Tambahan, terdapat beberapa aspek penting yang perlu difahami kerana haiwan ini memerlukan lebih daripada sekadar ruang kecil dan perhatian minimum.

“Snowpy diberikan diet yang seimbang untuk memastikan kesihatannya terjaga. Makanannya terdiri daripada timothy hay sebagai sumber serat utama, serta palet khas untuk arnab bagi memenuhi keperluan nutrisinya.

“Selain itu, Snowpy juga memer­lukan ruang yang mencukupi untuk bergerak dan bermain, bukan sekadar dibiarkan terkurung di dalam sangkar,” katanya.

Mengenai kos penjagaan, katanya, jumlah anggaran yang diperlukan untuk menjaga Snowpy adalah sekitar RM200 hingga RM300 sebulan.

Jumlah tersebut meliputi makanan selain kos pemeriksaan veterinar berkala.

Shabina juga memastikan Snowpy dimandulkan dan dibawa untuk pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan bagi menjaga kesejahteraannya.

Walaupun membela Snowpy membawa kegembiraan, ia juga datang dengan cabaran tersendiri.

Salah satu pengalaman paling mencemaskan bagi Shabina ialah ketika Snowpy mengalami jangkitan mata, yang berkemungkinan disebabkan oleh habuk sewaktu proses pengubahsuaian di rumah.

“Arnab adalah haiwan yang tidak mengeluarkan bunyi, jadi saya perlu sentiasa memantau tingkah lakunya untuk memastikan ia sihat.

“Jika tiba-tiba ia kelihatan kurang aktif, itu mungkin petanda sesuatu yang tidak kena dan perlu diberi perhatian serius,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×