Igloo tarik balik produk penyejuk beroda selepas pengguna putus jari

Igloo tarik balik produk penyejuk beroda selepas pengguna putus jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Syarikat penyejuk dan cawan terkenal, Igloo, bertindak menarik balik lebih satu juta peti penyejuk beroda berikutan aduan produk itu menyebabkan banyak kecederaan serius pada jari pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC) dalam kenyataan akhbar semalam, penarikan balik itu melibatkan penyejuk beroda model 90-quart Flip & Tow Rolling Coolers.

Igloo Products dalam pemberitahuan di laman webnya memaklumkan, syarikat itu secara sukarela menarik balik penyejuk tersebut dari pasaran dengan kerjasama CPSC.

“Pemegang tarik boleh menyebabkan hujung jari pengguna cedera teruk hingga ada yang terpaksa dipotong serta beberapa lagi kecederaan lain,” kata kenyataan akhbar tersebut.

Jelas suruhanjaya itu, terdapat lebih 12 laporan mengenai kecederaan serius pada hujung jari pengguna, termasuk pemotongan, luka dan patah tulang.

Model penyejuk beroda tersebut dikeluarkan sebelum Januari 2024 dan maklumat berkaitan tarikh pembuatannya dicetak di bahagian bawah peti berkenaan.

Model tersebut, yang berharga antara AS$80 (RM355.30) hingga AS$140 (RM621.89), hadir dalam beberapa kombinasi warna peti dan penutupnya.

Ia dijual dari Januari 2019 hingga bulan lalu di Target, Costco, Dick’s Sporting Goods dan beberapa peruncit lain termasuk dalam talian di Igloocoolers.com serta Amazon.

Pengguna yang sudah membeli penyejuk tersebut diminta untuk segera berhenti menggunakannya dan menghubungi Igloo untuk mendapatkan pemegang baharu secara percuma.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN