Jawatan PM hanya untuk UMNO - Utusan Malaysia

Jawatan PM hanya untuk UMNO

ARMAND AZHA ABU HANIFAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEJAK melibatkan diri dalam politik pada 7 Januari 1995, niat DATUK ARMAND AZHA ABU HANIFAH hanya satu iaitu berkhidmat kepada negara dan masyarakat. Bukan glamor atau wang ringgit yang mahu dikejar.

Kelantangan beliau bersuara membuatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mudah dikenali dalam kalangan rakyat, pimpinan parti mahupun ‘musuh’ politik. Walaupun kini muncul dengan penampilan baharu yang lebih fit, namun beliau masih orang sama yang mahu melihat UMNO bangkit kembali menjadi kerajaan yang mendapat sokongan rakyat.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI, Ketua UMNO Bahagian Subang itu memberitahu beliau kini giat mendekati anak muda melalui aktiviti berbasikal.

Melalui aktiviti sihat itu, Armand Azha berjaya mengorek isi hati dan harapan belia yang mahu melihat perubahan besar dalam landskap politik negara.

KUAT JENTERA PILIHAN RAYA

UTUSAN: Agak lama kita tidak berhubung. Apa perkembangan terbaharu?

ARMAND AZHA: Saya secara berterusan giat memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat. Sebagai Timbalan Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO, saya telah turun ke sembilan negeri untuk menguatkan jentera pilihan raya. Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, saya akan ke Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah untuk tujuan sama.

Saya bertanggungjawab memastikan kesiapsagaan jentera pilihan raya UMNO. Daripada saya berterusan mengikut permainan politik, adalah jauh lebih baik saya fikirkan persediaan jentera terutama dalam situasi politik hari ini yang masih tidak stabil.

Kami perlu bekerja lebih keras untuk mencari sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus pengundi atas pagar sekiranya had umur undi diturunkan ke 18 tahun.

Selain itu, saya kini meneruskan latihan untuk bertanding dalam Ironman 2022. Saya mahu cabar diri sama ada boleh berjaya habiskan pertandingan ini atau tidak. Sesi latihan yang sepatutnya memakan masa lapan bulan telah berlanjutan hampir dua tahun ekoran pertandingan itu ditunda akibat Covid-19.

ARMAND Azha Abu Hanifah (tiga dari kanan) menyelami jiwa, kehendak dan harapan golongan belia terhadap kerajaan melalui aktiviti berbasikal.

Bagaimana situasi politik hari ini. Masih bertaringkah UMNO?

Saya lebih suka mengambil pendekatan berbeza. Hari ini masih ramai lagi mereka yang menyukai konsep tradisional dalam berpolitik tetapi tidak bagi saya. Saya merupakan salah seorang pemimpin muda yang berpegang pada konsep dinamik dan progresif.

Ini kerana politik sudah jauh berbeza, tidak seperti 10 hingga 20 tahun lalu. Jika dulu, UMNO merupakan parti yang cukup dominan dan boleh menubuhkan kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain tetapi hari ini kita mempunyai minda dan ruang yang terbuka untuk berbincang bersama parti lain dalam membentuk sebuah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

KERJASAMA

Adakah ini bermakna UMNO tidak menolak kerjasama dengan PKR dan DAP?

Ia sangat dinamik dan progresif, namun sebarang keputusan perlu bergantung kepada kata putus akar umbi. Sebagai seorang yang berpegang pada prinsip parti, sudah tentu saya menolak dan tidak akan menyokong DAP dan PKR atas dasar prinsip parti mereka yang jauh berbeza dengan UMNO. Namun, sekiranya ia melibatkan rundingan untuk menubuhkan kerajaan, apa salahnya?

Tidakkah ini pengkhianatan kepada parti?

Dalam konteks politik hari ini saya amat bersetuju untuk Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai sebuah parti politik solo. Kita hadapi mana-mana parti baik daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) kerana saya yakin rakyat sedang menilai.

Pandangan mengenai kerajaan PN?

Kita perlu melihat kerajaan PN dari sudut berbeza kerana ia adalah satu platform yang terdiri daripada bekas pemimpin PH dan BN, kerana itu ia sekadar medan untuk rakyat menilai gerak kerja pemimpin dari kedua-dua parti itu kerana pernah menjadi kerajaan.

Kita lihat sepanjang pandemik Covid-19, sudah terang lagi bersuluh bahawa Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga wakil UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diterima baik dan sentiasa mendapat maklum balas positif dalam kalangan rakyat berbanding menteri-menteri kanan lain.

Begitu juga dengan kewibawaan Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang masing-masing memegang portfolio dan tugasan penting dalam kerajaan. Ini jelas memperlihatkan kepercayaan tinggi Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada menteri-menteri daripada UMNO.

Kenapa agaknya Muhyiddin memberi kepercayaan kepada pemimpin UMNO berbanding Bersatu?

Ini kerana sejarah dan kejayaan pentadbiran UMNO selama ini. Masalah kebajikan dan ekonomi kini amat teruk, begitu juga kos sara hidup semakin tinggi. Pelabur pula ramai yang tarik diri dan melabur di negara jiran seperti Indonesia. Jelas, negara perlu penambahbaikan dari sudut ini.

Mereka dari Bersatu ini tiada pengalaman untuk mengalas tanggungjawab yang diberikan. Mereka tidak berfikir ke hadapan sekiranya sesuatu berlaku dan apa yang perlu dilakukan. Sehingga kini tidak nampak penyelesaiannya.

Ia berbeza pula dengan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mengutamakan kebajikan dan kesihatan pelajar dengan tidak membenarkan lagi pengajian secara fizikal.

GILA KUASA

Bagaimana dengan sokongan rakyat?

Rakyat tidak akan menilai corak pentadbiran PH yang berjanji langit dan bintang ketika diberi mandat sekiranya UMNO menang pada PRU-14 lalu. Janji 100 hari pun tidak dikotakan, malah ketika itu perpaduan dalam kalangan rakyat semakin retak dan akhirnya gugur kerana masalah dalaman iaitu perebutan kuasa dua ikon politik iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 20 tahun lebih rakyat ‘duduk’ dalam politik perbalahan antara dua ikonik politik negara itu, kerana itu negara tidak boleh maju ke depan, sedangkan sebelum ini Malaysia jauh lebih hebat dari Korea Selatan, Indonesia dan negara-negara dunia ketiga. Malaysia tidak boleh pergi jauh selagi kita beri peluang kepada kedua-duanya untuk terus menjadi sebahagian daripada pemain politik. Cukuplah pergaduhan antara mereka. Enough is enough.

PKR menamakan Anwar sebagai calon PM?

Kenapa perlu Anwar jadi PM? Kenapa tidak UMNO sedangkan dalam parti ini mempunyai ramai yang boleh diangkat sebagai calon. Kita ada presiden, timbalan presiden dan naib presiden. UMNO ini sebuah parti yang berstruktur. Kenapa pula kita perlu fikir Anwar atau Muhyiddin?

Sama ada Anwar atau Muhyiddin, kedua-dua mereka ada DNA (asid deoksiribonukleik) UMNO. Jadi, mengapa perlu ambil barangan tiruan sedangkan ada barangan original.

Bagi saya sudah tentu akan meletakkan keutamaan dalam memastikan pemimpin UMNO menjadi PM demi menyelamatkan negara dan memastikan Malaysia kembali ke landasan negara maju. Semua itu memerlukan sentuhan ajaib UMNO.

Jika UMNO buka ruang dan peluang, tidak mustahil Anwar boleh menjadi PM?

Kita kena pilihlah. Kalau UMNO menang majoriti, takkan UMNO semudah itu mahu bagi pada minoriti menjadi PM. Sama ada Bersatu atau PKR, jika mereka mahu tubuh kerajaan, mereka perlukan UMNO. Kenapa pula mereka mahu tubuh kerajaan yang ada UMNO, tetapi parti mereka pula mahu jadi PM?

LUPA JASA

Beberapa kenyataan dari Bersatu sejak kebelakangan ini seperti memburukkan dan membuli UMNO?

PN tidak akan berjaya membentuk kerajaan tanpa sokongan UMNO. PN akan gugur jika UMNO tidak menyokong Bajet 2021 pada Disember tahun lalu. Walaupun enam pemimpin UMNO ditekan dengan kes mahkamah, tetapi kami tetap menyokong kerajaan. Kerana apa? Kerana kita berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat jauh lebih penting dari peribadi.

Hari ini mereka memperbesar-besarkan kluster mahkamah. Bagi saya mereka tidak hormat sokongan yang UMNO berikan. Jika tanpa enam kluster mahkamah ini, sudah pasti mereka kalah. PN tidak boleh menidakkan jasa mereka ini. Naratif yang dicorakkan seolah-olah UMNO ini gila kuasa, sedangkan jika benar sedemikian, sudah pasti dari awal minta jadi PM. Namun, UMNO tidak berbuat demikian sebaliknya, menyokong dan berpegang kepada konsep menjaga kebajikan rakyat ketika pandemik Covid-19.

Rakyat nampak Bersatu sedang membuli UMNO. Buat masa ini, kita senyum, kaji, nilai dan berpegang kepada keputusan yang dicapai semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, baru-baru ini iaitu menyokong kerajaan sehingga pembubaran Parlimen.

Bagaimana UMNO mahu kekal di hati rakyat sekiranya barisan kepimpinannya dikaitkan dengan kluster mahkamah?

Sehingga hari ini masih dalam proses perbicaraan. Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak telah jatuh hukum tetapi proses rayuan masih berjalan dan belum selesai.

Persepsi yang dimainkan dengan terus menuduh adalah tidak baik. Selagi mereka tidak dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Persekutuan, maka mereka masih tidak bersalah. Kita perlu hormat keputusan mahkamah dan sistem perundangan negara.

UMNO tidak seperti pemimpin PH yang menyalahgunakan kuasa dengan meminta untuk membuang kes tanpa proses mahkamah. Walaupun UMNO sebahagian daripada kerajaan ketika ini tetapi tidak demand sebaliknya minta proses mahkamah dibuat secara adil.

GADUH-GADUH SAYANG

Terdapat segelintir pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati dengan tindakan parti yang mahu bekerjasama dengan musuh tradisi?

Jika lihat sejarah UMNO, mana pernah tidak bergaduh. Semasa Semangat 46 pernah bergaduh, akhirnya bertaut kembali. UMNO dan Anwar bergaduh dalam parti sehingga tertubuhnya PH, begitu juga perkara sama berlaku dengan Bersatu.

UMNO sentiasa berdepan ribut dan taufan, namun akhirnya akan keluar dengan bahtera yang lebih kuat. Siapa sangka selepas kalah pada PRU-14, UMNO kini merupakan sebahagian daripada kerajaan hanya selepas 22 bulan menjadi pembangkang walaupun ada kata-kata yang mengatakan UMNO akan terkubur atau hanya akan kembali berkuasa dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Walaupun di ‘atas’ ada masalah, perbalahan atau perbezaan pendapat tetapi sokongan akar umbi parti masih padu untuk memastikan UMNO terus maju.

Apa komen mesyuarat MKT UMNO, baru-baru ini?

Pelbagai spekulasi di luar sana sebelum mesyuarat dijalankan dan nyata ia tidak benar. MKT mengambil pendekatan dengan mengutamakan kepentingan rakyat atas semangat setia kawan, musyawarah dan bijaksana bagi memperjuang agenda rakyat dan parti.

Selain itu, akan memperkasakan ketetapan PAU 2020 dan hasrat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus Covid-19 terkawal tetap menjadi keutamaan dalam masa sama menggesa agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.

Sementara dalam isu pemilihan parti, sekali lagi UMNO mengambil pendekatan yang lebih matang dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

MKT memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik serta mengambil kira kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×