GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya 51 orang terkorban manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di pinggir ibu kota Guatemala, menurut pegawai tempatan.
Jurucakap perkhidmatan bomba bandar, Mynor Ruano berkata, usaha sedang giat dijalankan untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bas tersebut.
“Setakat ini, mayat 36 lelaki dan 15 wanita dihantar ke bilik mayat wilayah,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Bas berkenaan sedang melalui laluan sibuk keluar masuk Guatemala City sebelum ia terjatuh dari jambatan lebuh raya yang merentasi jalan dan anak sungai.
Rakaman yang dikongsi oleh pihak bomba di media sosial menunjukkan anggota penyelamat menarik keluar mangsa dari gaung yang dipenuhi sisa tercemar, manakala imej lain menunjukkan bas tersebut terbalik.
Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, mengumumkan tiga hari berkabung serta mengarahkan tentera dan agensi bencana negara untuk membantu usaha menyelamat.
“Saya berdiri bersama keluarga mangsa yang hari ini menerima berita yang amat memilukan. Kesedihan mereka adalah kesedihan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Bandar Guatemala City, Ricardo Quinonez pula memaklumkan di media sosial perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala polis trafik sedang berusaha untuk menyediakan laluan alternatif bagi pengguna jalan raya.
Polis Sivil Nasional dalam kenyataannya berkata, pihak mereka sedang menyokong operasi mencari dan menyelamat serta akan memberikan segala bantuan yang diperlukan bagi memastikan semua mangsa dapat diselamatkan.
Sehingga setakat ini, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.– AGENSI










