Tiada siapa dalam Bersatu tolak Muhyiddin

Tiada siapa dalam Bersatu tolak Muhyiddin

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebarang penolakan  terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia telah dibuktikan melalui pemilihan Bersatu baru-baru ini yang jelas menunjukkan Muhyiddin masih diperlukan untuk mengemudi parti tersebut sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Tegasnya, jika berlaku penolakan seperti yang disebut, maka sudah pasti jawatan itu akan diberi kepada pemimpin lain untuk meneruskan survival parti Bersatu.

“Kita perlu menekankan pentingnya kepimpinan yang bersatu dan saya sendiri turut menegaskan selepas pemilihan ini, semua pihak perlu bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan yang kukuh,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, formula yang dicadangkan sebelum ini telah diterima oleh semua pihak dan diterjemahkan dalam pemilihan parti.

Beliau berkata, ini membuktikan parti berada dalam keadaan stabil serta bersedia menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Katanya, dalam sesebuah organisasi atau pasukan, kepimpinan yang jelas amat penting bagi memastikan kelancaran pergerakan sesebuah parti.

“Dalam mana-mana organisasi atau pasukan, tidak boleh ada dua pemimpin atau ‘imam’ dalam satu jemaah. Sama seperti dalam peperangan atau sukan, hanya seorang jurulatih yang menentukan strategi pasukan.

“Justeru, selepas pemilihan ini, tidak ada lagi alasan untuk sebarang pertikaian. Keputusan yang dibuat oleh perwakilan harus dihormati dan tumpuan utama kini adalah memperkukuh parti serta mempersiapkan jentera menghadapi PRU-16,” katanya.

Tun Faisal berkata, semua pihak menerima keputusan pemilihan walaupun ada yang mahu mengekalkan jawatan presiden atau tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada.

“Suara-suara yang mengkritik mungkin hanya datang daripada segelintir individu sedangkan keputusan pemilihan membuktikan sokongan menyeluruh dalam semua peringkat.

“Kini, berpuak dalam parti tidak lagi menjadi isu. Selepas pemilihan ini, semua pihak harus bersatu sebagai satu pasukan. Soal kepimpinan selepas ini tidak perlu diputuskan sekarang kerana pemilihan parti telah pun selesai dan keputusan sudah dibuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, selepas pemilihan, fokus utama Bersatu kini adalah menghadapi pilihan raya yang bakal tiba.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan di peringkat negeri serta mengatur strategi bagi memperkukuh sokongan akar umbi.

“Pilihan raya Sabah antara cabaran terdekat sebelum kita bersedia menghadapi PRU. Kita telah memulakan gerak kerja turun ke negeri-negeri bagi memastikan kesiapsiagaan parti berada pada tahap terbaik.

“Srikandi Muda Bersatu juga telah melancarkan beberapa inisiatif baharu termasuk pusat khidmat, pelan tindakan (blueprint) dan siri podcast bagi memperkukuh pengaruh parti dalam kalangan generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×