Beri perhatian pada SDG 2030

Beri perhatian pada SDG 2030

PANEL solar.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATLAMAT Pembangunan Mam­pan 2030 (SDG 2030) perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Ekologi Manusia, Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, SDG1 sukar dicapai kerana kemiskinan berkaitan dengan banyak perkara seperti kos sara hidup, kenaikan harga barang, kesihatan,  pendidikan dan lain lain berkaitan alam sekitar. 

“Justeru, semua SDG perlu dilihat secara bersepadu. Apabila kerajaan bercakap tentang subsidi, kenaikan apa-apa kos perkhidmatan terkena kepada isu kemiskinan. 

“Maka, perkara asas berkaitan alam semula jadi perlu diberikan perhatian dalam pelan pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, perancangan pembangunan ekonomi negara mesti mampu mengawal dan menguruskan sumber semula jadi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kelestarian alam sekitar, ekonomi dan sosial menjadi fokus kepada pembangunan masa hadapan. 

“Apabila bercakap tentang ekonomi biasanya akan sentuh tentang tenaga hijau, bangunan hijau, pengangkutan hijau, pengurusan sisa, air dan tanah yang lestari.

“Semua ini asas kepada penjanaan ekonomi atau ekonomi yang lestari.

“Asasnya adalah kesejahte­raan hidup, kesihatan yang baik dan kos sara hidup yang rendah. Udara dan air yang bersih, tiada pencemaran dan kos penyelenggaraan yang rendah,” katanya.

Sementara itu, aktivis alam sekitar, Harris Raj Kumar berkata, kawasan sensitif perlu dikenalpasti dan diberi perlindungan dari segi perundangan dan pengawasan,” katanya.

Jelasnya, kelesta­rian alam, di antara 17 SDG, menjadi asas kepada strategi pembangunan di tahap persekutuan dan negeri. 

“Asas kelestarian perlu diterapkan dalam semua tahap pendidikan, untuk memastikan hala tuju semua warga adalah selaras. 

“Institusi-institusi pendidikan perlu juga menerapkan amalan kelestarian, secara praktikal, sebagai permulaan amalan berterusan. 

“Selain itu, menyediakan program-program yang memberi peluang orang ramai untuk berhubung dengan alam, dengan memahami kepentingan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem kepada manusia,” katanya. 

Beliau juga berharap pihak kerajaan dapat mempergiatkan promosi, menyokong dan mengutamakan produk serta servis yang mengutamakan kelestarian, terutamanya kelestarian alam, seperti barangan guna-semula barangan mudah-kompos, eko-pelancongan bertanggungjawab dan sebagainya. 

“Ciri-ciri atau aspek kelestarian juga perlu dinilai untuk mengelakkan berlakunya ‘green-washing’ (organisasi menipu pengguna mengenai manfaat alam sekitar produk, perkhidmatan),” katanya.

Oleh itu, beliau berharap kepada pengusaha yang menghasilkan produk atau servis kelestarian mendapat keutamaan seperti insentif, bantuan dan juga pensijilan (dengan syarat lulus audit).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×