SHANGHAI: Tanah runtuh di wilayah Sichuan, barat daya China yang dicetuskan oleh hujan lebat kelmarin, meragut sekurang-kurangnya satu nyawa dan hampir 30 mangsa lain masih hilang.
Sebelum ini, China dilanda dengan cuaca ekstrem sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan puluhan mangsa terkorban akibat banjir tahun lalu, yang turut mencatatkan rekod suhu paling panas dalam sejarah negara itu.
Pakar sains berkata, perubahan iklim menyebabkan kejadian cuaca buruk semakin kerap berlaku.
Kejadian tanah runtuh pada Sabtu melanda Kampung Jinping di bandar Yibin sekitar pukul 11.50 pagi (waktu tempatan).
“Kajian awal mendapati bencana itu berlaku akibat pengaruh hujan berterusan sejak kebelakangan ini serta faktor geologi,” lapor stesen penyiaran negara, CCTV, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Setakat semalam, seorang mangsa disahkan meninggal dunia, manakala 28 yang lain masih hilang.
“Jumlah akhir mangsa masih dalam proses pengesahan lanjut,” kata CCTV dalam laporan pada Ahad.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan lampu suluh ketika mencari mangsa di celah runtuhan pada waktu malam.
Presiden China, Xi Jinping, dalam kenyataannya mengarahkan pihak berkuasa supaya melakukan segala yang termampu untuk mencari dan menyelamat mangsa hilang, termasuk mengurangkan jumlah korban dan menguruskan pasca bencana dengan sebaiknya.










