Peribahasa ular: Pukul anak, sindir menantu

Peribahasa ular: Pukul anak, sindir menantu

ULAR sebagai simbol dalam banyak peribahasa mencerminkan sifat-sifat semula jadi reptilia itu yang kadangkala licik, berbahaya dan penuh misteri. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA  28 Januari lalu, sehari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina yang meraikan kedatangan tahun ular, Orang untuk Perlakuan Etika Terhadap Haiwan (PETA) Asia mendesak kamus Merriam-Webster membuang definisi orang yang tidak berguna atau berbahaya bagi perkataan ‘snake’.

Berita itu segera mengingatkan saya kepada pelbagai penggunaan ‘ular’ dalam budaya Melayu, Cina dan India, khususnya di Malaysia. Sesungguhnya, kita sudah menggunakan ‘ular’ dalam konteks positif dan negatif sejak dahulu.

Dalam epik, mitos, cerita rakyat dan purana India-Hindu, memang ada pelbagai cerita mengenai ular, sama ada ular biasa atau ada kuasa ajaib. Sebahagian boleh dibaca dalam buku Bhagavad Gita (2021), Khanda Puranam (2022) dan Katha Sarit Sagara (2023).

Dalam bahasa-bahasa di India, naga, nagam dan nagin merujuk ular tedung. Apabila menyerap masuk ke dalam budaya Melayu, maknanya berubah dan merujuk makhluk mistik dragon dalam budaya Cina. Sebab itulah kita ada tarian naga iaitu ular berkaki.

Ular sebagai simbol dalam banyak peribahasa mencerminkan sifat-sifat semula jadi reptilia itu yang kadangkala licik, berbahaya dan penuh misteri. 

Dalam budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, ular sering muncul sebagai metafora bagi menggambarkan pelbagai aspek kehidupan dan sifat manusia. 

Misalnya, peribahasa ‘ular menyusur akar takkan hilang bisanya’. Seseorang yang ada kedudukan, kuasa, harga diri atau etika akan tetap memiliki kesemua nilai itu walaupun mereka berada di tengah kelompok manusia yang tidak mengamalkan kesemua nilai baik itu.

“Kalau kau nampak ular dengan Uthaya, kau bunuh Uthaya dulu.” Agak menarik apabila pepatah Melayu yang diubah suai itu dipaparkan di media sosial oleh seorang editor majalah sastera pada April 2017.

Tindakan itu susulan saya menegur kesalahan fakta dalam majalah itu berkaitan penulis kaum India yang terlibat dalam sastera kebangsaan. 

Dalam penggunaan asal, pepatah itu mengingatkan kita betapa ada masanya manusia lebih berbisa dan berbahaya berbanding ular. Namun, agak memalukan apabila editor sebuah majalah sastera menggunakan pepatah itu susulan kesalahan fakta ditegur secara baik.

Insiden seperti ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kita supaya memahami makna sebenar peribahasa dan pepatah. Jangan menggunakannya secara sewenang-wenang sehingga bertentangan dengan makna asal.

Dalam bahasa Inggeris, frasa a snake in the grass merujuk seseorang yang berpura-pura menjadi kawan, tetapi sebenarnya adalah musuh dalam selimut atau individu yang ada niat jahat tersembunyi. 

Individu musuh dalam selimut seperti yang terungkap dalam peribahasa Inggeris itu tentu sahaja wujud dalam semua situasi dan bidang pekerjaan. Sekiranya perkembangan parti politik tempatan dan luar negara diteliti, situasi ular di dalam belukar memang sentiasa wujud.

Perkara ini juga ada kaitan dengan frasa lidah bercabang. Kita semua tahu ular memiliki lidah bercabang. Peribahasa lidah biawak juga merujuk biawak yang lidahnya bercabang.

Sifat ular bukan hanya membelit dan mematuk. Sebaliknya, lidah ular yang bercabang digunakan untuk mengingatkan kita kepada orang yang cakapnya tidak boleh dipercayai.

Tentu sahaja kita kenal orang dengan sifat seperti itu dalam kehidupan seharian, di tempat kerja dan pada setiap kali muncul musim pilihan raya. Namun begitu, tokoh lidah bercabang seperti ular atau biawak biasanya pandai dalam seni retorik. Maka, ramai yang terus menjadi mangsa penipuan mereka.

Sekiranya kita rajin membaca buku berkaitan pengurusan dan keusahawanan, tentu pernah menemui panduan yang ada dikaitkan dengan ular.

Misalnya, don’t go back and play with dead snakes. Apabila ada sesuatu masalah dalam pengurusan atau syarikat, maka ambil tindakan segera untuk ‘membunuh’ (mengatasi) masalah itu. Kemudian, jangan membazir masa dengan bercakap lagi tentang ‘ular’ yang sudah dibunuh itu.

Ada juga peribahasa Tamil yang sesuai digunakan dalam bidang pengurusan, politik dan kehidupan seharian. Ia berkaitan dengan ular yang sudah mati dan membawa dua maksud agak berlainan.

Apabila ular berbisa sudah dipukul hingga mati, tidak ada gunanya kita terus memukul bangkai ular itu. Peribahasa ini memberitahu kita supaya jangan terus bercakap dan komen tentang suatu isu, konflik atau masalah yang sudah berjaya diselesaikan.

Perbuatan memukul ular yang sudah mati bukan sahaja sia-sia, malah tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Lainlah kalau ular itu tiba-tiba bernyawa kembali dan masih memberi ancaman kepada kita.

Bagi maksud kedua, peribahasa Tamil memukul ular yang sudah mati ditambah dengan aksi seseorang mengatakan bahawa dialah yang berjaya membunuh ular itu. 

Katakanlah ada satu masalah dalam komuniti. Sekumpulan penduduk berjaya mengatasinya tanpa pertolongan pihak luar. Kemudian, datang pula seorang ahli politik yang mula mendabik dada dan mencanangkan bahawa dialah yang berjaya menyelesaikan masalah itu.

Dalam budaya Melayu, kita sering mendengar istilah mengular. Kiasan itu digunakan untuk merujuk individu yang suka ponteng kerja, culas, pengelat, bersikap malas atau sentiasa tidak ada di tempat yang sepatutnya. 

Pada 14 November 2022, Timbalan Ketua Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Seri Alam, Johor, Mohd. Roslan Mohd. Tahir menulis di sebuah akhbar tempatan tentang sikap pekerja yang selalu mengadu tidak sihat dan perlu berehat, tetapi sebenarnya sibuk melayari media sosial di surau.

Katanya lagi, ada pula orang yang suka mengular selalu memberi alasan konon perlu hantar anak ke klinik, datuk tidak sihat, suami tidak balik rumah dan pelbagai alasan lain.

Maka, walau apa pun pandangan PETA Asia, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sedar bahawa ‘ular’ yang digunakan dalam peribahasa dan pepatah mana-mana bahasa langsung tidak dituju kepada reptilia itu. Sebaliknya, menyindir manusia secara halus.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×