KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan belum ada siasatan melibatkan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih membuat beberapa semakan dan tiada kenyataan yang boleh dibuat semasa proses ini berlangsung.
Katanya, DBKL sedang memfokuskan siasatan dari segi tatakelola jika terdapat kelompongan berkaitan dan memperketatkannya.
“Kami telah membuat dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa penyiasatan teknikal yang dipengerusikan oleh pengarah eksekutif DBKL dan jawatankuasa pemandu (steering committee) yang dipengerusikan saya sendiri.
“Kita juga membuat siasatan dan maklumbalas daripada pegawai yang terlibat dalam proses pemberian dari tahun 2023 hingga 2024 melibatkan jabatan kewangan, korporat dan perolehan.
“Perkembangan siasatan dalaman diharapkan dapat diselesaikan minggu ini,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Pemerkasaan Women Law Enforcement – Beauty, Strength And Excellence Madani 2025 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL di sini, hari ini.
Sementara itu, Mainumah turut menafikan dakwaan orang ramai berkaitan serbuan SPRM di DBKL.
“Pihak SPRM telah datang dengan elok. Tiada serbuan dan beliau hanya mengambil dokuman yang perlu disemak,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini tiada penggantungan tugas melibatkan pegawai berkaitan.
Semalam, DBKL mengesahkan sudah menyerahkan dokumen dan maklumat kepada SPRM berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Maimunah mengesahkan penyerahan dokumen dan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan SPRM membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat berkenaan dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan. – UTUSAN











