Rasa ‘benda’ itu peluk saya - Chacha Maembong

Rasa ‘benda’ itu peluk saya – Chacha Maembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KERJA kita ini bukan selamat sangat,”

Demikian luahan pelakon, Chacha Maembong, ketika bercerita mengenai pengalamannya berhadapan peristiwa mistik setelah bergelar anak seni. 

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, 28, enggan terlalu mendedahkan secara terperinci, tapi memberi gambaran bahawa peristiwa yang pernah berlaku itu cukup ‘menampar’ dirinya sehingga bertemu ustaz untuk mendapatkan nasihat. 

Pelakon Anak Perjanjian Syaitan itu mengakui sudah beberapa kali berhadapan kejadian misteri apalagi dia kerap berlakon dalam naskhah berunsur seram dan watak mencabar seperti seorang bomoh. Kadangkala, lokasi penggambaran nun jauh di ceruk hutan juga pernah menyebabkannya seperti diekori sesuatu. 

“Bila nak balik rumah dan mahu tidur, tiba-tiba ada rasa macam orang pandang. Ada juga suatu hari, saya rasa benda itu duduk dan peluk di sebelah saya. Macam-macam saya alami tapi kena kuatkan semangat untuk bekerja. 

“Mimpi ngeri ada juga, cuma saya tidak mahu bercerita terlalu dalam sebab isu ini sensitif,” katanya yang enggan mendedahkan butiran ketika ditanya bilakah kali terakhir dia diganggu ‘makhluk’ tersebut. 

Berubah jadi pemarah

Memberi gambaran bahawa industri ini tidak selamat, Chacha tiba-tiba berubah sikap menjadi pemarah dan hilang semangat bekerja menyebabkan rakan-rakan terdekat menasihatinya bertemu ustaz. 

“Kalau mahu diikutkan, dalam industri, kerja kita ini bukanlah selamat sangat. Jadi kita sendiri kena lindung diri. Sesekali pergilah ‘servis’ jumpa ustaz. Kita tidak tahu niat orang sekeliling kita. 

“Titik tolak menyebabkan saya bertemu ustaz adalah bila orang sekeliling mula kata saya sudah berubah. Tiba-tiba masuk set rasa nak marah, mungkin ada sesuatu yang tidak kena terjadi. 

“Memang tidak dinafikan kadang memang ustaz kata ‘ada’ sesuatu tidak kena, saya takut nak cerita secara terperinci sangat tidak tahu reaksi orang di luar sana . Apa saya boleh cakap, saya pernah hadap. Ketika itu saya hanya fikir nak sihat,” tambahnya. 

Adik kepada pelakon Emma Maembong itu juga tidak menolak kejadian itu mungkin berpunca daripada pelbagai perkara seperti  tidak sengaja makan sesuatu yang ‘dihantar’ individu berniat jahat.  

“Ada yang berasal daripada makanan atau tempat saya berada.  Bila pergi jumpa dapatkan rawatan, saya tidak mahu tahu bagaimana ia terjadi dan tidak mahu tahu pun siapa yang buat. 

“Ustaz pun tidak akan beritahu. Saya fikir mahu bekerja dan bantu keluarga saya,” jelasnya.

Namun begitu, Chacha enggan masyarakat salah faham. Dia tidak mengaitkan sepenuhnya perubahan diri dengan kejadian mistik. Adakalanya ia sebahagian daripada pasang surut motivasi diri. 

“Tapi saya juga tidak mahu letak seratus peratus perubahan diri dengan kejadian misteri. Mungkin boleh jadi saya sangat penat. Mental yang tertekan pun boleh jadi sebab. 

“Cuma memang saya akan pergi jumpa ustaz untuk periksa. Kalau tiada apa-apa gangguan, tidak mengapalah, saya sekadar mahu dapatkan nasihat. 

“Kadangkala jumpa ustaz bukan nak berubat saja tapi demi nak belajar ilmu. Ustaz ada ajarkan saya selawat untuk melindungi diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×