COLUMBUS: Polis Ohio sedang mencari suspek kes tembakan yang membunuh seorang mangsa dan mencederakan lima yang lain di sebuah bangunan gudang kosmetik di New Albany.
Bandar New Albany dalam satu kenyataan berkata, penembak itu sudah dikenal pasti dan polis berusaha untuk menahan suspek.
“Senjata api ditemui di tempat kejadian. Polis bertindak balas terhadap laporan penembak aktif dengan mengunci gudang jenama penjagaan diri KDC/One,” katanya.
Ketua Polis New Albany, Greg Jones memberitahu NBC4, insiden itu dipercayai adalah serangan yang disasarkan.
Tambahnya, tiada sebarang pertengkaran berlaku sebelum kejadian tembakan dan motifnya masih belum didedahkan.
Imej yang dikeluarkan oleh media tempatan menunjukkan berpuluh-puluh kenderaan polis dikerahkan ke lokasi tersebut.
Kira-kira 150 pekerja di gudang tersebut dipindahkan ke bangunan bersebelahan dan lima mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.-AGENSI











