JOHOR BAHRU: Pengemis warga asing di pasar malam sekitar daerah ini dipercayai mampu meraih pendapatan purata harian sehingga RM600 seorang.
Kemunculan pengemis warga asing yang terus bertambah mendorong Jabatan Imigresen negeri bertindak melakukan serbuan dan menahan 18 warga asing terbabit.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, pengemis warga asing terbabit ditahan dalam serbuan di dua lokasi pasar malam di Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad di sini, Isnin lalu.
Beliau berkata, pihaknya percaya mereka mampu meraih pendapatan purata harian sehingga RM600 seorang.
“Tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima dan risikan ke atas kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar Johor Bahru.
“Mereka yang ditahan berusia antara 40 tahun hingga 69 tahun. Pengemis jalanan yang ditahan dipercayai ada yang kudung dan cacat anggota untuk meraih simpati pengunjung pasar malam,” katanya.
Tambah Mohd. Rusdi, warga asing yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warga China, empat lelaki Thailand, tiga lelaki dan seorang wanita Kemboja, dua wanita dan dua lelaki Syria, seorang lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Pakistan.
“Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Semua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











