JOHOR BAHRU: Bagi memperkasa dan mempercepatkan tempoh penyelidikan dan pengkomersialan Kecerdasan Buatan (AI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini sedang membangunkan sistem Perkomputeran Prestasi Tinggi Kecerdasan Buatan (AI).
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pembangunan ‘High Performance Computing’ (HPC) itu dijangka siap pada Jun atau Julai depan.
“Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) UTM dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2024 dan UTM telah menerima 101 graduan pertama dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Untuk memperkasakan penyelidikan AI mengikut trend semasa, empat jabatan ditubuhkan di bawah Fakulti AI ini.
“Antara jabatan itu ialah Jabatan Kepintaran Maklumat yang akan menjadi pemangkin bagi pembangunan dalam teknologi baharu AI,” katanya selepas Majlis Perutusan Naib Canselor Kelapan UTM 2025 di UTM Skudai, di sini hari ini.
Mohd. Shafry berkata, Jabatan Business Intelligence (BI), Humanities and Governance pula berperanan untuk membangunkan teknologi berkaitan dengan perniagaan dan menyediakan garis panduan berkaitan etika untuk berdepan cabaran AI.
Dua lagi ialah Jabatan Kejuruteraan Pintar dan Teknologi Lanjutan serta Jabatan Kreatif AI.
Semua jabatan tersebut mempunyai peranan masing-masing untuk merealisasikan UTM menjadi sebuah universiti awam (UA) perintis dalam pembangunan AI di seluruh UA dan swasta, katanya sambil memberitahu golongan pensyarah turut menganjurkan program komuniti untuk memberi pendidikan berkaitan AI.
Mengulas berkaitan saranan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud supaya kesemua 20 universiti awam membuat semakan terhadap kurikulum dan harus mempunyai elemen AI, Mohd. Shafry menyifatkan saranan itu merupakan satu strategi ampuh kementerian untuk melahirkan mahasiswa yang memahami penggunaan AI.
“Berkaitan dengan perubahan fakulti, autonomi sebenarnya diberikan kepada universiti masing-masing termasuk IPTS untuk mereka sediakan fakulti tersebut.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat kita ada, 19 program akademik telah pun ditawarkan di IPTA berkaitan dengan AI,” katanya. –UTUSAN











