Dua bekas juruterbang langgar peraturan alkohol digantung

Dua bekas juruterbang langgar peraturan alkohol digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Dua bekas juruterbang Japan Airlines dikenakan tindakan penggantungan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun, selepas didapati melanggar peraturan larangan alkohol sebelum penerbangan dan berbohong kepada bekas majikan.

Kementerian berkata, kedua-dua bekas kapten itu meminum alkohol melebihi had, walaupun mengetahui peraturan yang mengehadkan jumlah pengambilan alkohol dalam tempoh 12 jam sebelum penerbangan dijadualkan.

Mereka juga memberikan penjelasan palsu kepada syarikat selepas tiba dan cuba menutup kesalahan, kata kementerian yang turut memaklumkan penggantungan berkuat kuasa selama tujuh bulan.

Dua juruterbang itu dipecat oleh Japan Airlines selepas penerbangan dari Melbourne ke Tokyo pada Disember ditangguhkan selama tiga jam kerana kandungan alkohol dalam sistem mereka melebihi had yang dibenarkan.

Syarikat penerbangan itu berkata, pada Januari, dua eksekutif paling kanan akan menerima potongan gaji sebanyak 30 peratus selama dua bulan berikutan insiden itu.

Kementerian Pengangkutan mengarahkan Japan Airlines untuk mengambil langkah pencegahan selepas penerbangan dari Dallas ke Tokyo dibatalkan kerana seorang juruterbang mencetuskan gangguan selepas mabuk di hotel.

Jepun memperkenalkan peraturan baharu pada 2019 untuk mengawal pengambilan alkohol oleh juruterbang selepas beberapa insiden menarik perhatian media.

Pada tahun sama, All Nippon Airways menangguhkan penerbangan domestik setelah seorang pembantu juruterbang gagal ujian nafas alkohol.

Pada 2018, seorang pembantu juruterbang Japan Airlines ditahan di Britain sebelum penerbangan kerana hampir 10 kali ganda melebihi had alkohol darah yang sah.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×