JOHOR BAHRU: Lebih 4,300 pelajar dan 212 guru terlibat dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula pada sesi persekolahan 2025, 17 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.
Justeru, katanya, pelajar terlibat akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.
“Sebagai persediaan, seramai 212 guru sekolah rendah dan menengah terlibat telah dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura untuk latihan dan bengkel sebagai persediaan pembukaan sekolah rintis pada pertengahan bulan ini.
“Kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut piawaian antarabangsa, Common European Framework of Reference For Language (CEFR). Mereka ini menjadi tulang belakang SRBJ,” katanya selepas menyempurnakan Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini.
Projek SRBJ di peringkat permulaan membabitkan dua sekolah buah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.
Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi SRBJ.
Sekolah rintis itu akan diberi keutamaan dari segi naik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan edaran semasa.
Aznan berkata, dari segi sistem pembelajaran dan silibus akan ada penambahan, namun dari segi sesi persekolahan masih sama.
Bagi sekolah menengah, ia melibatkan semua pelajar, namun tumpuan lebih bagi pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjadi penanda aras setelah hasilnya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.
“Di sekolah rendah, ia akan melibatkan semua murid dengan sistem pendidikan yang kita sudah susun. Paling penting ia tidak mengubah Dasar Pendidikan Negara, hanya sedikit penambahan terhadap silibus sedia ada,” katanya. – UTUSAN











