TAIPEI: Taiwan melarang jabatan kerajaan daripada menggunakan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) syarikat pemula China, DeepSeek, kerana dianggap sebagai risiko keselamatan.
Negara itu memperketatkan pendirian berbanding minggu lalu, yang hanya menyatakan perkhidmatan tersebut tidak sepatutnya digunakan, lapor Reuters.
Taiwan yang ditadbir secara demokratik sememangnya berhati-hati dengan teknologi dari China, memandangkan tuntutan kedaulatan Beijing ke atas pulau itu serta ancaman ketenteraan dan politik terhadap kerajaan di Taipei.
Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai berkata, DeepSeek diharamkan penggunaannya di semua agensi kerajaan bagi memastikan keselamatan maklumat negara.
Kenyataan pejabatnya turut menyatakan kebimbangan mengenai penapisan pada DeepSeek serta risiko data berakhir di China.
31 Januari lalu, Kementerian Digital Taiwan menyatakan jabatan kerajaan tidak sepatutnya menggunakan DeepSeek, tetapi tidak secara khusus mengharamkan perkhidmatan tersebut.
Pihak berkuasa di Korea Selatan, Perancis, Itali, Ireland dan beberapa negara lain juga sedang menyiasat penggunaan data peribadi oleh DeepSeek.– AGENSI










