LIPIS: Kerajaan negeri tidak membiarkan atau lepas tangan untuk membangunkan mana-mana kawasan yang terjejas kesan pembubaran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) pada 1999.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akur dengan arahan kerajaan Pusat pada ketika itu supaya membubarkan LKWJ dan DARA yang berperanan sebagai agensi pembangunan fizikal serta ekonomi di Pahang.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin setempat mengemukakan cadangan pembangunan kepada kerajaan negeri bagi mana-mana kawasan yang terjejas ekoran pembubaran tersebut.
“Kerajaan negeri tidak akan membiarkan kawasan yang ditinggalkan oleh dua agensi terbabit. Kita menyediakan peruntukan pembangunan tahunan dengan menyalurkan kepada pejabat daerah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengikut prinsip pembangunan seimbang setiap daerah.
“Kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi atau pekan yang diwujudkan semasa LKWJ dan DARA terus berkembang maju,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab keluhan penduduk pekan Kampung Awah dan Pekan yang disifatkan ‘hidup segan mati tak mahu’ sejak pembubaran dua agensi berkenaan.
Untuk rekod, LKWJ dan DARA merupakan agensi pembangunan terancang ekonomi dan sosial bagi mencepat pembangunan kawasan mundur mewakili hampir separuh keluasan negeri ini meliputi daerah Maran, Jerantut, Bera, Temerloh, Pekan dan Rompin.
Tinjauan Utusan Malaysia di lapangan seperti Pekan Tajau, Pekan Awah, Ibol Tunggal, Kota Perdana, Bandar Tun Razak, Perantau Damai, Bukit Ibam, Pekan Chini dan lain-lain mendapati ia memerlukan peruntukan khas bagi memajukan kawasan berkenaan.
Wan Rosdy turut menyarankan pemimpin setempat memohon peruntukan projek kecil dan cadangan relevan untuk memajukan lokasi terbabit demi kebajikan rakyat. – UTUSAN











