PANGKALPINANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilaporkan hilang selepas dibaham seekor buaya ketika menemani kakaknya memancing di Sungai Muara Pangkalbalam, Kota Pangkalpinang, Belitung, semalam.
Mangsa, Tina Ramadani, dikatakan sedang bermain air di tebing sungai sebelum dibaham reptilia tersebut dan menyeretnya masuk ke dalam air.
Menurut laporan Pos Belitung, kawasan sungai tersebut sememangnya dikenali sebagai habitat buaya muara dan penduduk sering melihat kelibat buaya di kawasan berkenaan.
Ketua Pejabat Badan Pencarian dan Pertolongan Nasional (Basarnas) Pangkalpinang, I Made Oka Astawa, berkata pihaknya menerima laporan mengenai seorang kanak-kanak yang telah disambar buaya berhampiran dermaga Pasukan Polis Air dan Udara (Polairud).
“Keluarga yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Berikutan insiden itu, anggota Dit Polairud Polda Kepulauan Bangka Belitung bersama pasukan Basarnas telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari mangsa.
Antara peralatan yang digunakan termasuk pesawat tanpa pemandu (drone), yang berjaya merakam kelibat buaya yang dipercayai masih membawa tubuh mangsa.
“Semoga usaha pencarian ini segera membuahkan hasil,” ujar Made Oka Astawa.
Sementara itu, Ketua Sukarelawan Laskar Sekaban, M Achin, yang turut membantu operasi pencarian berkata, mangsa sedang bermain air bersama ibu, kakak, adik serta ibu saudaranya ketika buaya tersebut muncul secara tiba-tiba.
“Air hanya setinggi lutut ketika itu. Namun, secara mendadak buaya menyambar mangsa dan menyeretnya ke tengah sungai, menyebabkan keluarga panik dan tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya kepada Pos Belitung.
Hari ini, operasi pencarian memasuki hari kedua dengan pasukan penyelamat memperluaskan kawasan pencarian dan setakat ini, pihak berkuasa masih belum menemui sebarang petunjuk baharu dan operasi pencarian dijangka diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan. – AGENSI










