KONFLIK penebangan hutan, pembangunan pesat dan perubahan iklim menyebabkan hutan bakau di negara ini diancam kemerosotan.
Situasi itu amat membimbangkan kerana tumbuhan tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keseimbangan ekologi, terutama di kawasan pesisir pantai.
Ia merupakan pelindung semula jadi daripada hakisan pantai, menstabilkan tanah serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.
Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Rusli Abdullah mengesyorkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi permasalahan tersebut.
Katanya, teknologi itu menawarkan penyelesaian inovatif dalam memantau dan memulihara ekosistem pokok bakau dengan lebih cekap dan berkesan.
Salah satu aplikasi utama AI adalah dalam analisis data raya yang diperoleh daripada pelbagai sumber, seperti imej satelit, dron dan sensor alam sekitar.
“Melalui pembelajaran mesin, AI mampu mengenal pasti perubahan pada struktur hutan bakau, seperti penebangan hutan atau degradasi kawasan, dalam masa nyata.
“Ini membolehkan tindakan pantas diambil untuk menangani ancaman terhadap ekosistem tersebut sebelum ia menjadi lebih kritikal,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Pemikir di Institut Pengajian Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, penggunaan AI dalam masa sama dapat meramalkan kesan perubahan iklim terhadap hutan bakau.
Menggunakan model ramalan berasaskan algoritma canggih, AI boleh menganalisis pelbagai faktor, seperti kenaikan paras air laut, suhu dan taburan hujan untuk memahami bagaimana perubahan itu mempengaruhi pertumbuhan dan kelangsungan hidup pokok bakau.
Jelasnya, maklumat itu amat berguna bagi penggubal dasar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merancang langkah mitigasi yang sesuai termasuk projek penanaman semula pokok bakau di kawasan yang strategik.
Malah, AI turut membantu dalam meningkatkan keberkesanan usaha pemuliharaan melalui pemetaan kawasan hutan bakau dengan lebih terperinci.
Ujarnya, teknologi seperti pembelajaran mendalam mampu membezakan spesies pokok bakau dengan ketepatan yang tinggi, sekali gus membantu para saintis memahami biodiversiti di kawasan tersebut.
“Ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan tetapi juga memberi peluang kepada penyelidik untuk mengenal pasti spesies yang terancam atau berisiko pupus,” katanya.
Pemantauan pintar
Integrasi AI dalam sistem pemantauan membolehkan pengesanan awal terhadap aktiviti manusia yang mengancam kelestarian hutan bakau, seperti penebangan haram atau pembangunan tidak terkawal.
Sistem pemantauan pintar ini boleh memberi amaran kepada pihak berkuasa dengan segera, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara lebih pantas.
Melalui pendekatan ini, pengurusan hutan bakau dapat dijalankan secara proaktif, lantas mengurangkan risiko kemerosotan ekosistem.
“AI bukan sahaja memacu usaha pemuliharaan dengan kecekapan yang lebih tinggi, malah memperkasakan strategi jangka panjang untuk melestarikan ekosistem pokok bakau sebagai warisan berharga bagi generasi akan datang.
“Gabungan teknologi canggih dan komitmen manusia dalam memelihara alam sekitar mampu menjadikan AI sebagai alat yang signifikan dalam mengatasi cabaran kelestarian hutan bakau di Malaysia,” katanya.
Cabaran
Walaupun AI menawarkan banyak peluang untuk melestarikan ekosistem pokok bakau, namun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya.
Kos yang tinggi untuk membangunkan dan menyelenggara teknologi AI sering menjadi halangan terutama bagi organisasi kecil dan PBT.
Malah, kekurangan data berkualiti tinggi dan terperinci mengenai hutan bakau turut menyukarkan pembangunan model AI yang tepat dan berkesan.
Rusli berkata, tanpa data mencukupi, analisis dan ramalan yang dihasilkan oleh AI mungkin kurang tepat, seterusnya menyukarkan usaha pemuliharaan.
“Aspek penguatkuasaan undang-undang juga merupakan cabaran besar dalam melindungi hutan bakau. Aktiviti seperti penebangan haram dan pencerobohan tanah sering sukar dikesan atau dikawal, terutama di kawasan terpencil.
“Walaupun teknologi AI boleh membantu dalam pemantauan, keberkesanan usaha ini bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada pihak berkuasa serta masyarakat setempat,” katanya.-UTUSAN










