Korea Utara buka tempahan lawatan ke Rason sempena hari lahir Kim Jong Il

Korea Utara buka tempahan lawatan ke Rason sempena hari lahir Kim Jong Il

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Sebuah pengendali pelancongan hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah membuka tempahan bagi lawatan ke bandar sempadan Korea Utara, Rason, sempena sambutan hari lahir bekas pemimpin negara itu, Kim Jong Il.

Lawatan tersebut menawarkan peluang pertama kepada pelancong asing untuk memasuki Korea Utara sejak sempadannya ditutup akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

Pada Januari lalu, beberapa pengendali pelancongan melaporkan bahawa Pyongyang bersedia untuk membuka semula Rason kepada pelancong asing selepas lima tahun menutup sempadan.

Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Korea Utara atau China mengenai perkara itu.

Agensi pelancongan berpangkalan di Beijing, Koryo Tours, menyatakan lawatan ke Rason itu merupakan perjalanan pertama ke Korea Utara sejak sempadannya ditutup pada Januari 2020.

“Lawatan ini akan membawa pelancong ke lokasi penting di Rason, zon ekonomi khas Korea Utara. Selain itu, mereka juga berpeluang menyambut cuti kebangsaan terbesar negara itu, iaitu hari lahir Kim Jong Il,” menurut kenyataan di laman web agensi tersebut.

Hari lahir bekas pemimpin Korea Utara, yang juga bapa kepada Pemimpin, Kim Jong Un, disambut pada 16 Februari sebagai ‘Hari Bintang Bersinar’ dan secara lazimnya diraikan dengan perarakan tentera dan pelbagai acara besar-besaran.

Rason, yang diisytiharkan sebagai zon ekonomi khas pertama Korea Utara pada 1991, menjadi medan ujian bagi dasar ekonomi baharu negara itu di samping menempatkan pasar terbuka pertama yang sah di negara tersebut serta mempunyai sistem visa yang berasingan daripada wilayah lain di Korea Utara.

Sejak menutup sempadannya pada awal 2020 untuk membendung penularan Covid-19, Korea Utara memperkukuh kawalan di sepanjang sempadannya dengan China bagi menghalang rakyatnya daripada memasuki negara itu secara haram.

Pyongyang kini telah membuka sempadannya untuk beberapa urusan perdagangan serta delegasi rasmi dan pada tahun lalu, membenarkan pelancong dari Russia memasuki negara itu buat pertama kali sejak pandemik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×