PHILADELPHIA: Enam individu, termasuk seorang wanita dan anak perempuannya, yang terbunuh dalam nahas pesawat kecil di Philadelphia sudah dikenal pasti oleh syarikat yang mengendalikan jet pengangkutan perubatan itu.
Menurut syarikat Jet Rescue Air Ambulance, kesemua mangsa merupakan warganegara Mexico, termasuk seorang kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Seorang lagi mangsa yang maut merupakan individu yang berada di darat ketika kejadian berlaku, namun identitinya belum didedahkan.
Sementara itu, Datuk Bandar Philadelphia, Cherelle Parker semalam mengesahkan jumlah kecederaan akibat insiden itu meningkat kepada 22 orang, dengan lima masih dirawat di hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
Pesawat tersebut terhempas pada Jumaat lalu, di kawasan padat penduduk, hanya beberapa blok dari pusat beli-belah Roosevelt Mall.
Kawasan kejadian turut menempatkan banyak deretan kedai serta rumah teres, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa premis.
Punca nahas masih belum diketahui, namun Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dalam kenyataan yang diperoleh CBS News memaklumkan kotak hitam pesawat berjaya ditemukan pada Ahad.
Menurut pegawai penyiasat, pesawat itu hanya berada di udara kurang daripada satu minit sebelum menjunam dari ketinggian 457 meter dan terhempas dengan impak kuat.
Setakat ini, dua enjin pesawat ditemukan, namun pihak berkuasa masih mencari sisa lain bagi membantu siasatan.
Penyiasatan sedang dijalankan oleh NTSB dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dengan bantuan beberapa agensi tempatan. —AGENSI









