PETALING JAYA: Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bakal dipinda bagi menyeragamkan peraturan membenarkan lebih satu rumah dibina di atas satu lot di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka.
Katanya, terdapat 317 tanah rancangan Felda dengan kira-kira 120,000 peneroka yang membabitkan pelbagai generasi.
“Salah satu cabaran utama ialah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (GSA) yang sudah dipinda 20 tahun lalu. (Justeru), menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka memerlukan kerangka undang-undang yang dikemas kini.
“Beberapa negeri juga sudah membenarkan lebih daripada satu rumah dibina di satu lot dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah bersetuju membekalkan elektrik kepada rumah tambahan berkenaan.
“Kami berhasrat menyeragamkan peraturan berkenaan di seluruh negara menerusi pindaan baharu GSA yang dijangka dibentangkan sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang disiarkan semalam.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan sedang memperkukuh pembangunan luar bandar serta mengurangkan penghijrahan ke bandar dengan mewujudkan peluang ekonomi baharu dan memperkasa program keusahawanan.
Katanya, ketika ini 24.7 peratus daripada penduduk Malaysia atau mewakili kira-kira 8.1 juta orang, menetap di kawasan luar bandar.
“Ia berkaitan mobiliti sosial. Dahulu, penduduk luar bandar berhijrah ke bandar atau pinggir bandar untuk mencari pekerjaan.
“Kadar mobiliti sosial mendatar sebelum ini iaitu 3.4 peratus, tetapi kini menurun kepada 2.7 peratus.
“Ini bermakna kita perlu membawa lebih banyak pembangunan ke luar bandar bukan sekadar infrastruktur, tetapi juga peluang pekerjaan baharu,” katanya.-UTUSAN










