ZON Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memberi impak besar kepada ekonomi Johor, dengan potensi menjana pendapatan sehingga RM122.52 bilion (AS$28 bilion) menjelang 2030, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB). Pertumbuhan ini boleh direalisasikan jika kerajaan terus memperkukuh inisiatif bagi menarik pelaburan dalam 11 sektor utama, termasuk perbankan, logistik, keselamatan makanan, pelancongan, tenaga digital, ekonomi hijau, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, dan kesihatan.
JS-SEZ menyasarkan penciptaan sebanyak 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun pertama. Sebanyak 50 projek dijangka dimulakan, dengan sasaran mencapai 100 projek dalam tempoh 10 tahun. Namun, kejayaan JS-SEZ bergantung kepada usaha kerajaan dalam memastikan dasar pelaburan yang mesra perniagaan serta infrastruktur yang menyokong pertumbuhan sektor-sektor berkenaan. Dengan pendekatan strategik, JS-SEZ berpotensi menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi Johor dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab ekonomi serantau.
JS-SEZ dengan nilai potensi pendapatan sebanyak RM122 bilion merupakan satu peluang besar yang perlu direbut oleh perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia. PMKS menyumbang 37 peratus kepada KDNK negara dan menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 48 peratus tenaga kerja negara. Ini termasuk pekerjaan dalam sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan perdagangan.
Inisiatif JS-SEZ bukan sahaja membuka laluan kepada pelaburan asing tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri tempatan. Dengan ekosistem perniagaan yang lebih dinamik, JS-SEZ boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan PMKS, terutamanya dalam sektor teknologi, pembuatan, logistik, dan perkhidmatan. Lebih penting, JS-SEZ dijangka membawa perubahan landskap ekonomi Johor, mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab perdagangan serantau, dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara.
Potensi Pertumbuhan PMKS
JS-SEZ akan menghubungkan ekonomi Johor dan Singapura dengan lebih efisien melalui infrastruktur yang lebih baik dan dasar ekonomi yang mesra pelabur. Bagi PMKS, akses kepada pasaran lebih luas, peningkatan dalam rantaian bekalan, dan peluang kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa.
Dengan penekanan kepada pendigitalan dan teknologi dalam ekonomi moden, PMKS boleh memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing mereka. Syarikat dalam bidang perkhidmatan seperti fintech, perundingan perniagaan, dan pemasaran digital juga boleh mendapat manfaat daripada ekosistem JS-SEZ yang lebih ke hadapan dan mesra digital.
Manfaat Infrastruktur dan Kemudahan Logistik
Dengan penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan, dan lapangan terbang yang lebih moden, PMKS dalam sektor logistik dan perdagangan akan mendapat manfaat yang besar. Kecekapan dalam penghantaran barang dan perkhidmatan akan meningkat, sekali gus mengurangkan kos operasi.
Akses kepada Pasaran dan Modal
Dengan kehadiran pelabur asing dan syarikat multinasional, PMKS boleh menjalin kerjasama strategik yang bukan sahaja memberi peluang perniagaan tetapi juga meningkatkan pemindahan teknologi dan kepakaran. Selain itu, PMKS yang memerlukan modal boleh meneroka pelbagai dana yang disediakan oleh kerajaan dan institusi kewangan untuk meningkatkan operasi mereka. Sektor seperti teknologi tinggi, semikonduktor, industri halal, pemprosesan makanan, dan produk kecantikan boleh mendapat faedah besar dengan kemudahan yang ditawarkan oleh JS-SEZ, kerana permintaan produk berkualiti tinggi dari pasaran antarabangsa semakin meningkat.
Transformasi Digital
JS-SEZ memberi platform yang ideal untuk PMKS mempercepatkan pendigitalan perniagaan mereka melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), analisis data raya, dan automasi. Misalnya, syarikat dalam sektor pembuatan boleh mengaplikasikan teknologi automasi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos tenaga kerja. Selain itu, penerapan teknologi blok rantai dalam pengurusan rantaian bekalan dan transaksi kewangan boleh meningkatkan ketelusan, kecekapan, dan keselamatan dalam perniagaan PMKS.
Cabaran
Antara cabaran utama termasuk persaingan sengit daripada syarikat besar, keperluan pematuhan kepada standard antarabangsa, dan kekurangan modal untuk berkembang. Untuk mengatasi cabaran ini, PMKS perlu mengamalkan strategi inovatif seperti pembentukan konsortium bagi meningkatkan daya saing, mendapatkan bimbingan dari agensi kerajaan, serta menjalankan program latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Penglibatan dalam program pensijilan antarabangsa dan usaha sama dengan firma yang lebih berpengalaman juga boleh membantu PMKS memperkukuhkan kedudukan mereka dalam ekosistem JS-SEZ.
Sokongan Kerajaan dan Dasar Mesra PMKS
Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyokong penyertaan PMKS dalam JS-SEZ termasuk insentif cukai, geran inovasi, dan program pembangunan usahawan. Sokongan dalam bentuk latihan, mentor perniagaan, serta pembiayaan khas boleh membantu PMKS bersaing secara lebih efektif. Oleh itu, PMKS perlu lebih proaktif dalam mendapatkan maklumat dan memanfaatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Dengan adanya platform sokongan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corp,
PMKS boleh mendapatkan bantuan dalam menembusi pasaran eksport dan meningkatkan kebolehpasaran produk mereka.
Sektor Berpotensi dalam JS-SEZ
Antaranya ialah sektor pelancongan dan hospitaliti, di mana PMKS boleh menyediakan perkhidmatan berkaitan seperti penginapan, makanan dan minuman, serta aktiviti pelancongan. Begitu juga sektor pendidikan dan latihan vokasional, yang boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir untuk syarikat-syarikat yang beroperasi dalam JS-SEZ.
Keperluan Tindakan Segera
PMKS tidak boleh ketinggalan dalam merebut peluang yang ditawarkan oleh JS-SEZ. Dengan strategi yang betul dan sokongan yang mencukupi, mereka boleh menjadi pemacu utama dalam ekonomi Johor dan Malaysia secara keseluruhan.
Kejayaan JS-SEZ bukan sahaja bergantung kepada syarikat besar tetapi juga kepada keupayaan PMKS untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan lestari. Dengan mengambil langkah yang proaktif, berinovasi, dan memanfaatkan sokongan kerajaan serta infrastruktur yang tersedia, PMKS boleh berkembang maju dan menjadikan JS-SEZ sebagai batu loncatan kepada kejayaan yang lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










