ADAB dan akhlak menentukan jati diri seseorang anak bangsa. Bahasa dan bangsa itu tidak boleh dijual beli. Ia menggambarkan maruah diri serta menjadi tunjang pembentukan keperibadian kita. Jangan laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.
Gaya hidup moden tidak seharusnya melunturkan nilai murni yang menjadi tunjang masyarakat sejahtera. Adab yang baik melahirkan kebahagiaan dalam hidup bermasyarakat. Runtuhnya adab ini akan memusnahkan ketamadunan bangsa.
Orang muda selaku pewaris bangsa bukan sahaja perlu melengkapkan diri dengan keintelektualan, tetapi ilmu itu harus diiringi nilai-nilai murni terpuji agar dapat bergerak ke hadapan sebagai masyarakat yang maju. Amat malang jika akibat lalai, kita tersasar laksana layang-layang salah teraju.
Bergurulah daripada mereka yang benar-benar berilmu agar kita dapat menjadi bangsa yang sentiasa mara melalui jalan yang lurus. Tiada jalan singkat untuk berjaya dan tiada jalan tengah di antara kebenaran dan kebatilan. Kita perlu bersabar dalam melakukan apa-apa perkara.
Sudah menjadi adat orang muda, kita cepat bertindak tanpa berfikir panjang. Akibatnya, darah muda yang marak membara boleh meledak dan membakar diri sendiri jika tidak berhati-hati. Apatah lagi jika ada yang berjaya mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak menyala.
Bak kata orang, ‘keladi muda, muda buahnya, menurut hati muda, kelahi sudahnya’.
Kelebihan orang muda letaknya pada tenaga dan semangat juang yang tinggi. Maka, kelebihan ini harus diguna pakai sepenuhnya dalam usaha untuk menuntut ilmu yang berguna serta membina jati diri yang tinggi dan kuat. Biarlah kita gunakan masa muda untuk mengatur langkah demi masa hadapan cemerlang.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta. Jangan biarkan ledakan darah muda memesongkan perjalanan hidup kita. Jika kita terlalu mudah dipengaruhi emosi, pandangan kita akan dibayangi khayalan yang tercipta berdasarkan pengaruh sekeliling. Kita seolah-olah buta tentang apakah sebenarnya yang ada di hadapan. Maka, bukalah pintu hati untuk berfikir secara waras, adil dan saksama bagi mencari kebenaran.
Matlamat tidak sekali-kali akan menghalalkan cara. Maka, jalan perjuangan yang dipilih haruslah betul dan tidak menyimpang daripada landasan undang-undang serta nilai agama. Kita harus bersifat jujur dan amanah dalam menilai sesuatu perkara sama ada kecil atau besar dalam usaha menghindari fitnah.
Hidup kita dibatasi undang-undang agama dan negara. Sebagai contohnya, Allah memberi kita tubuh badan untuk digunakan mengikut kehendak diri, bukan untuk melakukan perkara-perkara haram. Sama juga dengan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Perkara 10(1)(a) memberi hak kebebasan bersuara, namun kebebasan itu bukanlah mutlak, tetapi tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4).
Tiada kebebasan yang mutlak di dunia ini. Di mana sahaja berada, kita harus menghormati undang-undang yang ada. Itulah aturan hidup bagi mengatur ketenteraman awam.
Maka, janganlah bertindak tanpa berfikir panjang. Jangan mudah termakan fitnah dan hasutan orang. Jangan mudah tergoda dengan cerita dan janji manis yang belum tentu benarnya. Tidak perlulah hidup ini hanya ingin bersikap anarkis dan membenci pentadbiran.
Jangan sampai tindakan kita memakan diri dan memusnahkan masa hadapan sendiri. Kita harus mengambil iktibar daripada apa yang terjadi di Libya, Mesir dan Tunisia. Laungan kuasa orang muda bukanlah kata-kata keramat yang boleh menyelesaikan segala masalah. Tangan yang keras tiada gunanya jika tiada minda yang waras. Orang muda bukannya sekadar alat untuk membantah.
Memang mudah untuk kita sekadar serak berteriak merungut tentang isu yang dihadapi. Orang muda suka mengambil jalan mudah kerana tiada sabar, walaupun jalan mudah itu tiada hasilnya.
Mencari jalan tersusun lagi berkesan bagi menangani masalah ialah sukar dan mencabar, namun itulah sebenarnya jalan yang berhasil lagi bermanfaat.

MAHASISWA PERLU BERUBAH
Alaf baharu ini memerlukan gerakan mahasiswa untuk bergerak secara lebih bermaruah, bijaksana dan berwibawa sesuai dengan aspirasi golongan yang mereka wakili. Pemimpin mahasiswa yang hidup pada zaman kecerdasan buatan (AI) mestilah bukan sekadar pintar tetapi bijaksana dan mampu mengadakan anjakan paradigma dalam perjuangan mereka. Kita tidak mahu menjadi gajah pengangkut lada, kuda pelejang bukit.
Budaya intelektual harus menjadi ciri utama dalam gerakan mahasiswa hari ini, bukan budaya gasar. Selari dengan peredaran zaman, modus perjuangan mahasiswa tidak lagi patut berada di takuk lama, seolah-olah terperangkap di dalam kapsul masa dan masih berada lima dekad ke belakang.
Sudah tiba masanya perjuangan kita berubah menjadi lebih progresif, mampu berbahas serta mengupas isu yang dibawa secara matang dan profesional. Jangan ungkit soal lama apabila kita boleh membawa arus baharu.
Justeru, gunakanlah darah muda untuk membakar semangat juang untuk menerusi secara bersungguh-sungguh dalam ilmu ke tahap yang tertinggi. Jika diberi tanggungjawab, kita akan dapat menunaikannya dengan cemerlang dan penuh amanah. Itulah tahap baharu yang harus kita letakkan agar golongan mahasiswa tidak lagi diperlekeh sebagai tidak matang dan kekanak-kanakan.
Gunakan masa lapang yang ada untuk membaca, berbincang, berbahas dan mencari pengalaman bagi menambahkan ilmu di dada. Luaskan hati dan minda melangkaui sekadar apa yang dipelajari di universiti. Jangan terlalu tersangkut dengan naratif lama dan jadilah perintis generasi baharu.
Kita harus berusaha menjadi insan yang berhemah tinggi serta baik budi pekertinya kerana itulah tuntutan agama. Pada masa sama, mesti berusaha secara bersungguh-sungguh bagi menjauhi sikap angkuh dan sombong.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Sahih Muslim, “tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.”
Ambillah iktibar daripada kelemahan diri sendiri sebagai orang muda dan perbaikkan diri. Jangan terus ingin menegakkan benang yang basah kerana mahukan diri sendiri betul.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










