BATU GAJAH: Masalah bekalan santan kelapa segar mungkin berlarutan sehingga Aidilfitri kerana faktor buah kelapa melawas atau tidak berbuah akibat cuaca tidak menentu dan saiz ladang kelapa semakin kecil.
Seorang peniaga di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang di sini, Nurul Azida Saidattul Akhmar, 31, berkata, bekalan santan kelapa segar berlaku sejak hujung tahun lalu dan dikhuatiri berlarutan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, situasi itu mungkin disebabkan beberapa faktor seperti buah kelapa melawas, cuaca tidak menentu, saiz ladang kelapa semakin kecil dan ramai yang lebih menggemari produk hiliran.
“Banyak pokok kelapa tidak berbuah banyak seperti sebelum ini mungkin kerana factor cuaca yang kerap hujan kebelakangan ini.
“Selain itu, sejak berpuluh tahun lalu ramai pemilik pokok kelapa beralih menanam pokok kelapa sawit yang lebih menguntungkan, menyebabkan saiz keluasan ladang semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Kata Nurul Azida, sebelum ini dia boleh mendapat sehingga 1,000 kilogram (kg) buah kelapa tua daripada pembekal sekitar Bagan Datuk dan Batu Gajah, tetapi kini sekitar 200 kg sahaja.
Jelasnya, bekalan itu tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggannya dalam kalangan pemilik, pengusaha restoran serta katering dan peniaga kuih muih tempatan.
“Sekarang saya terpaksa mengehadkan penjualan santan kepada pelanggan lama sahaja dan realitinya bekalan Tahun Baharu Cina turut terjejas.
“Pelanggan pun kebanyakkan orang kampung dengan pendapatan tidak seberapa, saya ingin menaikkan harga pun rasa bersalah kerana tidak mahu membebankan mereka,” katanya. – UTUSAN











