TOKYO: Sekitar 527 pelajar sekolah rendah dan menengah di Jepun dilaporkan membunuh diri tahun lalu, menurut data terkini yang dikeluarkan semalam.
Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14 berbanding 2023, serta melebihi rekod sebelumnya sebanyak 514 pada 2022, lapor Kyodo News memetik Kementerian Kesihatan dan Kebajikan.
Daripada 527 pelajar, 239 daripadanya adalah lelaki dan 288 lagi perempuan.
Pecahan itu termasuk 349 dari sekolah menengah atas (gred 10-12), 163 dari sekolah menengah rendah (gred 7-9) dan 15 dari sekolah rendah (gred 1-6).
Kementerian menyifatkan situasi itu sebagai ‘serius’ dan menggesa siasatan lanjut untuk menentukan punca sebenar.
Secara keseluruhan, 20,268 orang, termasuk 13,763 lelaki dan 6,505 wanita, dilaporkan membunuh diri di negara itu pada 2024, menurun sebanyak 1,569 berbanding 2023 serta angka kedua terendah sejak 1978.
Masalah kesihatan menjadi punca utama kes bunuh diri di Jepun, dengan 11,986 kes dilaporkan, diikuti faktor ekonomi dan peribadi sebanyak 5,075 kes, serta masalah keluarga dengan 4,334 kes, menurut laporan media tersebut.– AGENSI










