KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, mengakui tidak mudah menggantikan solat fardu yang pernah ditinggalkannya, malah menangis semasa awal-awal melakukan qada solat kerana terlalu penat.
“Sejak saya akil baligh memang banyak solat yang saya tinggalkan. Jadi sekarang, selepas habis solat fardu, saya akan tambah dengan solat ganti.
“Contohnya, selepas solat zuhur empat rakaat, saya akan sambung lagi solat ganti dengan rakaat yang sama. Saya akan melakukan ini sampai akhir nafas saya.
“Awal-awal dulu memang saya nangis, penat sangat ganti solat. Tapi lama-lama saya sudah biasa.
“Sekarang kalau solat sekejap, saya yang rasa ralat sebab sudah terbiasa praktis solat lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon Polis Evo 3 itu turut menasihati anaknya Putra Rayqal Ramli, 18, dan Mohamed Neqayl, 7, untuk serius dalam menjaga ibadah solat.
“Sememangnya selepas saya berhijrah, banyak benda positif berlaku. Saya pun baru tahu kena ganti solat, sekarang saya menekankan hal itu kepada anak saya. Pesan saya, kalau mereka tinggalkan solat, kena ganti.
“Alhamdulillah sekarang saya rasa lebih tenang. Jika ada ujian datang, saya lebih bijak menghadapinya berbanding dahulu yang banyak ikut perasaan,” jelasnya yang turut menjalankan kempen menghafal surah al-Mulk di Instagram.
Nora sebelum ini mencuri perhatian apabila membuat keputusan mengenakan hijab selepas kerap menghadiri majlis ilmu sejak Mei tahun lalu.- UTUSAN











