WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan menandatangani perintah eksekutif untuk pembinaan program pertahanan peluru berpandu Kubah Besi atau Iron Dome.
Semasa berucap dalam satu pertemuan untuk wakil Parlimen Republikan di resort golf miliknya, Trump National Doral Miami, di selatan Florida, beliau berjanji memperkukuhkan aset ketenteraan AS melalui tindakan eksekutif.
“Kita mesti mempunyai pertahanan yang kuat, sangat kuat.
“Sebentar lagi, saya akan menandatangani empat perintah eksekutif baharu,” kata Trump.
Beliau berkata, perintah pertama adalah untuk melancarkan pembinaan segera sistem perisai pertahanan peluru berpandu Kubah Besi canggih, yang mampu melindungi rakyat AS.
Dua lagi perintah akan bertujuan untuk menghapuskan inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusi (DEI) serta mengeluarkan ideologi transgender daripada ketenteraan negara.
Perintah keempat pula akan mengembalikan perkhidmatan anggota tentera yang diberhentikan kerana enggan mematuhi mandat semasa pandemik Covid-19.
Kira-kira 8,000 anggota diberhentikan atas sebab itu antara Ogos 2021 hingga Januari 2023.
Trump menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah penting untuk memastikan AS memiliki pasukan tempur paling maut di dunia.
MEMBINA KUBAH BESI
Perintah eksekutif Trump untuk membina sistem Kubah Besi memenuhi janji yang dibuat oleh pemimpin Republikan itu semasa kempen.
Kubah Besi merujuk kepada sistem pertahanan udara yang dibiayai oleh AS di Israel yang mengesan dan memintas serangan roket musuh.
Trump sering menyatakan keinginannya untuk mengatasi sistem Kubah Besi Israel dalam kempennya untuk pemilihan semula pada tahun lalu.
Menerusi hantaran dalam platform media sosial X, beliau memberitahu jutawan terkenal, Elon Musk mengenai rancangannya membina sistem Kubah Besi terbaik di dunia.
Cadangan sama turut dinyatakan Trump kepada platform rasmi Parti Republikan, Julai lalu.
Namun, pakar ketenteraan berulang kali mempersoalkan sama ada sistem berkenaan diperlukan atau boleh dilaksanakan untuk AS.
Sistem yang digunakan di Israel, yang hanya sebesar negeri terkecil AS, New Jersey, kini hanya melindungi daripada roket dan mortar yang berkuasa rendah.
Pakar berpendapat, mewujudkan sistem serupa merentasi tanah besar AS akan membebankan kos, apatah lagi menghadapi keupayaan ketenteraan canggih daripada pihak lawan seperti Russia dan China.
Bahkan, masa depan projek Kubah Besi juga masih samar, kerana ia sudah pasti memerlukan pembiayaan yang diluluskan oleh Kongres.
GELOMBANG PERINTAH EKSEKUTIF
Pengumuman baharu itu menandakan satu lagi kesan dalam gelombang besar tindakan eksekutif yang diambil Trump sejak kembali ke Rumah Putih, 20 Januari lalu.
Menurut pegawai, Trump menandatangani jumlah perintah eksekutif yang tertinggi pada hari pertama memasuki pejabat, dengan 42 perintah, memorandum dan pengisytiharan.
Sebahagian besar perintah awal itu berkaitan dengan isu imigresen dan sosial.
Sebagai contoh, beliau mengambil langkah untuk menamatkan kewarganegaraan berdasarkan kelahiran, satu hak yang dilindungi Perlembagaan yang memberikan kerakyatan kepada individu dilahirkan di AS.
Bagaimanapun, beberapa perintah eksekutif awalnya bertindih dengan yang diumumkan pada Isnin.
Trump menggesa supaya program DEI kerajaan dihentikan, yang didakwanya melakukan diskriminasi haram dan tidak bermoral.
Beliau turut menandatangani satu perintah lain yang mengisytiharkan identiti jantina lelaki dan perempuan tidak boleh diubah.
Tetapi, gelombang perintah terbaharu itu berfokus kepada struktur tentera AS dan keutamaan strategiknya.
Perintah pada Isnin, sebagai contoh mengulangi ‘larangan tentera transgender’ yang diusahakan Trump pada 2017, semasa penggal pertama memerintah AS.
Larangan tersebut kemudiannya dibatalkan oleh bekas Presiden Joe Biden pada 2021.
Dianggarkan kira-kira 8,000 anggota tentera adalah transgender – walaupun lebih ramai mungkin takut untuk mengidentifikasi diri mereka secara terbuka.











