Hadiah Tahun Baru Cina paling bermakna 

Hadiah Tahun Baru Cina paling bermakna 

Man Wei Chong dan Tee Kai Wun muncul juara badminton Indonesia Masters 2025 pada awal tahun ini - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi wakil pertama beregu lelaki negara mengungguli Kejohanan Badminton Indonesia Master 2025 menyuntik motivasi untuk memulakan musim ini dengan cemerlang.

Pasangan No. 13 dunia itu menewaskan gandingan tuan rumah yang juga beregu No. 4 dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-11, 21-19 pada perlawanan akhir, kelmarin.

Lebih manis, Kai Wun menganggap ini merupakan ‘hadiah’  untuk Tahun Baru Cina yang akan disambut esok selepas membawa pulang AS$37,525 (RM164,285) selaku juara.

“Saya rasa ini satu kejayaan yang besar buat kami kerana tidak ada yang memenangi (wakil Malaysia) di sini. Kami juga tewas kepada mereka (pasangan Indonesia) empat kali berturut-turut. Itu satu pencapaian buat kami.

“Kami fikir ini satu hadiah yang baik buat kami dengan Tahun Baru Cina hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi,” kata Kai Wun.

Dalam pada itu, Wei Chong lebih berminat untuk mengasah kemahiran mereka daripada mengejar perbandingan dengan rakan senegara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

“Kami tidak terlalu memikirkan untuk menjadi pasangan terbaik. Kami hanya mahu terus meningkat. Kami semua rakyat Malaysia dan kami berjuang untuk negara.

“Kami telah menang hari ini (kelmarin), namun esok adalah hari baharu. Kami tidak mahu terlalu memikirkannya. Sebaliknya, mensasarkan untuk membuat persiapan pada kejohanan akan datang,” kata Wei Chong.

Untuk rekod, kemenangan itu juga menamatkan rentetan lima kekalahan mereka menentang Fajar Alfian-Rian Ardianto sebelum ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×