Elaun on-calldoktor naik?

Elaun on-call doktor naik?

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengkaji elaun bertugas on-call doktor yang tidak pernah disemak sejak 12 tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkely Ahmad berkata, isu berkenaan antara perkara yang akan dibincangkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Abu Bakar Suleiman termasuk pelaksanaan
sistem jadual bekerja berlainan.

Katanya, usaha menambah baik kadar elaun on-call RM9.16 sejam sekarang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Perdana Menteri dan Amir Hamzah berpandangan untuk perkara ini (elaun on-call) digarap bersama dan bersekali dalam penyelesaian jadual bekerja berlainan nanti.

“Saya mahu perkara-perkara ini disegerakan,” katanya di sini semalam.

Dzulkefly berkata, beliau me­nyerahkan kepada pasukan Jawatankuasa Khas itu untuk mengemukakan terma rujukan yang lebih khusus termasuk tempoh masa untuk menyiap­kan kajian berkaitan.

Bagaimanapun, beliau mahu kajian pelaksanaan itu dapat disiapkan dalam tempoh se­gera sebagai langkah reformasi menyeluruh sistem kesihatan 2025-2026.

“Saya izinkan Tan Sri Abu Bakar dan pasukannya memberikan terma rujukan lebih khusus dan garis masa lebih munasabah.

“Prinsipnya saya mahukan perkara-perkara ini dise­lesaikan secara tuntas secara ‘segera’ dalam tempoh masa paling sesuai. Tahun 2025-2026 adalah tahun pelaksanaan reformasi,” katanya.

Kelmarin, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak mahu elaun on-call melibatkan doktor perlu diselesaikan dahulu sebelum kerajaan melaksanakan sebarang sistem baharu bagi menambah baik perkhidmatan petugas kesihatan.

Elaun on-call iaitu sebanyak RM9.16 sejam masih lagi rendah dan kali terakhir disemak adalah 12 tahun lepas.

Katanya, pada Ogos tahun lalu, kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun sebanyak RM55 hingga RM65 seperti yang diusulkan Hartal Doktor Kontrak tetapi sehingga kini masih tiada kata putus.

Sebelum ini, kerajaan mem­­batalkan cadangan sistem­ waktu bekerja berlainan (WBB) iaitu sistem syif baharu untuk petugas kesihatan bagi memberi laluan kepada sebuah kajian lebih mendalam dan menyeluruh yang akan dilaksanakan sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Pelaksanaan sistem itu men­dapat kritikan antaranya berkait syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari pukul 3 petang hingga pukul 9 pagi keesokannya sehingga mereka tidak mendapat elaun on-call.

Bagaimanapun, Dzulkefly menjelaskan, pelaksanaan se­se­buah projek rintis waktu bekerja berlainan hanya boleh dimulakan dengan kelulusan daripada menteri dan persetujuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Petang semalam, ketika berucap pada Konvensyen Nasional Amanah 2024 di Bandar Bestari, Klang, Dzulkefly berkata, pembatalan projek rintis waktu berkerja berlainan bukan satu keputusan ‘flip-flop’ atau bertukar pendirian oleh kerajaan.

Katanya, objektif projek rintis bagi mengurangkan beban dan tekanan kerja golongan itu masih dalam peringkat percubaan ketika dibatalkan.

Namun, jelas beliau, perkara itu didedahkan terlebih dahulu tanpa mendapat kelulusannya yang mahu memastikan pandangan semua pihak diambil kira sebelum membuat sesuatu ketetapan.

“Itu (pengumuman awal waktu berkerja berlainan ) satu kesilapan. Jadi, bagi menyelesaikannya, saya batalkan dahulu dan akan teruskan dengan mendapat pandangan semua pihak.

“Saya mahu menegaskan bahawa kita tidak akan flip-flop dan doakan semua dapat memperbaiki sistem itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×